PAUL  (empat dari kanan) menunjukkan rampasan rokok kontraban pelbagai jenama dan minuman keras dan bot pancung dalam serbuan di Lorong Aman, Api-Api dekat Pontian.
PAUL (empat dari kanan) menunjukkan rampasan rokok kontraban pelbagai jenama dan minuman keras dan bot pancung dalam serbuan di Lorong Aman, Api-Api dekat Pontian.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras menggunakan taktik lebih berani dengan mengubah suai bot pancung menyerupai bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) bagi melancarkan kegiatan haram mereka.

Bot pancung menggunakan empat enjin sangkut masing-masing berkuasa 300 kuasa kuda itu dicat biru dan disertakan lampu ‘strobe’ polis, sekali gus menyerupai bot ronda PPM Wilayah Dua Johor.

Bagi melancarkan aktiviti penyeludupan itu, sindiket turut menggunakan bot mewah sebagai pengiring sebagai penyampai maklumat atau melakukan halangan sekiranya dikesan pihak berkuasa.

Taktik terbabit terbongkar selepas PPM menumpaskan sindiket terbabit dengan merampas rokok dan minuman keras di pantai Lorong Aman, Api-Api dekat Pontian, jam 1 pagi, Khamis lalu.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pihaknya merampas 104,000 peket rokok dan 2,880 minuman keras, selain tiga lori serta bot dengan empat enjin sangkut bernilai keseluruhan lebih RM2.6 juta.

“Terdahulu, kami dapati lapan individu memunggah rokok dan minuman keras ke tiga lori, namun sebaik menyedari kehadiran kami, mereka melarikan diri ke hutan berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:17 AM