KEADAAN kawasan bandar raya Miri yang diselubungi jerebu.
KEADAAN kawasan bandar raya Miri yang diselubungi jerebu.
Oleh Mohd Rizal Abdullah


Miri: Kualiti udara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Kuala Baram di sini, merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat berikutan kebakaran berulang di hutan paya gambut dan belukar di kawasan berkenaan, sejak jam 4 petang kelmarin.

Portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kualiti udara di ILP Miri mencatatkan bacaan IPU 159 (tidak sihat) manakala di bandar raya ini, setakat jam 10 pagi semalam, IPU dicatatkan ialah 89 iaitu tahap sederhana.

Kebakaran di kawasan itu membabitkan kawasan seluas kira-kira empat hektar, selain kebakaran turut berlaku di Senadin dan Miri Bypass.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, kebakaran bermula di tengah hutan sebelum merebak sehingga ke tepi jalan berhampiran alat pengesan IPU.

“Kami tidak menolak kemungkinan kualiti udara di kawasan berkenaan terjejas teruk kerana ia berlaku berhampiran dengan alat pengesan IPU. Punca kebakaran diakibatkan pembakaran terbuka dan khianat.

“Kebakaran hutan paya gambut dan belukar di sekitar kawasan berkenaan mula berlaku Sabtu lalu, namun ia berjaya dipadamkan sebelum api marak semula. Kebakaran di Senadin dan Miri Bypass pula tidak serius dan kami sudah berjaya mengawalnya,” katanya.

Law berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan syarikat pemilik tanah yang beroperasi berdekatan ILP Miri itu untuk memadam kebakaran.

“Kami masih memantau kawasan itu kerana api boleh marak pada bila-bila masa berikutan cuaca kering dan berangin. Orang ramai digesa untuk menghentikan pembakaran terbuka kerana ia memberi kesan buruk dan akan menjejaskan kualiti udara,” katanya.

Sabtu lalu, seluas 500 hektar hutan di Kuala Baram terbakar menyebabkan kualiti udara mencatatkan bacaan IPU melebihi angka bahaya iaitu 300.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 6:58 AM