Najib bersalaman dengan Rawls, kelmarin.
Najib bersalaman dengan Rawls, kelmarin.
Oleh A Jalil Abdul Hamid

San Francisco: Finisar Corporation, firma teknologi terkemuka Amerika Syarikat (AS) terus yakin dengan Malaysia dan akan menambah pelaburan sehingga RM400 juta bagi mengembangkan operasinya di Perak.

Finisar yang sudah melabur AS$160 juta (RM666 juta) di Perak setakat ini mungkin tidak dikenali ramai, tetapi sumbangan syarikat itu kepada ekonomi negeri berkenaan besar.

Ia adalah majikan terbesar dalam kalangan syarikat multinasional yang beroperasi di Perak dengan 7,000 pekerja serta menyumbang 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pembuatan Perak dan lima peratus daripada KDNK Perak.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunnyvale yang berpangkalan di California, Jerry Rawls berkata, separuh daripada tenaga kerja global firma itu berjumlah 14,000 bertugas di kemudahannya di Chemor, Perak.

Ditanya faktor syarikat itu memilih Malaysia, Rawls berkata: “Malaysia adalah baik bagi syarikat ini. Kami mempunyai pekerja yang baik, setia, stabil, perdagangan mudah, infrastruktur baik, infrastruktur komunikasi yang baik dan cuaca sentiasa baik.

“Tiada penutupan (tiada halangan operasi). Tiada gunung berapi, gempa bumi dan kilang kami tidak seperti di Eropah Timur, kadang kala kita perlu tutup akibat salji,” katanya kepada pemberita di San Francisco.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berada di San Francisco sebagai sebahagian lawatan kerja beliau ke California, bertemu Rawls di luar acara pada majlis makan tengah hari perniagaan AS pada Rabu dan menyerahkan surat kelulusan MIDA untuk pelaburan tambahan Rawls.

“Ini adalah syarikat terbesar di Perak dari segi pekerja. Ia akan menambah lagi 250 pekerja dengan pelaburan tambahan.

“Ini meningkatkan jumlah pelaburan Finisar di Malaysia kepada RM1 bilion dan menjana pulangan ke atas pelaburan RM38.5 bilion dalam tempoh 10 tahun,” kata Najib.

Finisar adalah pembekal terbesar di dunia bagi produk komunikasi optik. Ia adalah peneraju teknologi global untuk subsistem gentian optik dan komponen kelajuan tinggi suara, video dan data komunikasi untuk telekomunikasi, rangkaian, penyimpanan, tanpa wayar dan aplikasi kabel televisyen.

Sejak sekian lama, Finisar sudah menyediakan teknologi optik kritikal kepada pengeluar sistem untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat rangkaian jalur lebar.

Rawls berkata, Finisar pada mula hanya mempunyai 40 pekerja apabila ia mula beroperasi di Chemor pada 2001.

“Kami menjangka mengambil lebih ramai pekerja dan mengembangkan kilang kami 100,000 kaki persegi di Chemor serta menjadi pemancar terbesar gentian optik ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:23 AM