KAWASAN belakang rumah penduduk yang runtuh Jumaat lalu.
KAWASAN belakang rumah penduduk yang runtuh Jumaat lalu.
Oleh Mohd Fadly Samsudin dan Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Seramai 42 penghuni yang mendiami 14 rumah di Jalan Dato Haji dan Jalan Bunga Tanjung, Taman Tan Yew Lai, Jalan Klang Lama, di sini, masih belum dibenarkan pulang ke rumah berikutan kerja pemantauan pergerakan tanah sedang dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Arifai Tarawe berkata, kerja pemantauan itu dilakukan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kami dimaklumkan, kerja berkenaan dibuat dalam tempoh tiga hingga tujuh hari,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, Jumaat lalu, tembok penahan tebing di belakang kawasan perumahan Jalan Dato Haji runtuh dipercayai akibat mendapan tanah berikutan hujan lebat.

Penjawat awam, V Premavathy, 55, berkata, dia terkejut sebaik menerima panggilan daripada jiran yang menyatakan hampir keseluruhan bahagian belakang rumahnya runtuh akibat tanah mendap.

“Saya dan keluarga dinasihatkan berpindah selepas tembok batu di belakang rumah setinggi dua meter itu runtuh.

“Ini kali pertama kejadian seumpama ini berlaku,” katanya yang sudah 30 tahun tinggal di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Arifai berkata, kejadian itu dipercayai berpunca akibat pergerakan tanah susulan hujan lebat selama beberapa hari.

Katanya, akibat tanah mendap, tembok setinggi dua meter yang memisahkan Jalan Dato Haji dan Jalan Bunga Tanjung di taman ini runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 8:16 AM