WANITA warga Indonesia  bersembunyi di bawah katil dan dalam almari.
WANITA warga Indonesia bersembunyi di bawah katil dan dalam almari.
Oleh Nordiana Shafiee


Alor Setar: Tindakan tiga wanita warga Indonesia bersembunyi di bawah katil dan dalam almari gagal apabila mereka dikesan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri dalam Op Sapu di Taman Mutiara di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri Mohamad Yusri Hashim berkata, operasi diketuai Penolong Pengarah Imigresen negeri Nar Azaman Ibrahim bersama 12 anggota itu menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) serta seorang warga tempatan dalam serbuan jam 1.30 pagi.

Menurutnya, di lokasi pertama, tiga wanita warga Indonesia diberkas bersama seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun disyaki pemilik rumah sewa yang didiami wanita terbabit.

Katanya, di lokasi kedua, pihaknya menahan tiga lelaki warga Bangladesh di rumah kongsi di Jalan Bukit Pinang.

“Hasil pemeriksaan, enam PATI berusia 24 hingga 40 tahun tidak memiliki sebarang pas atau permit sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.

“Lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi pendatang asing yang melakukan kesalahan,” katanya.

Sebelum itu, seramai 16 PATI terdiri 12 lelaki warga Bangladesh dan empat lelaki Myanmar ditahan di dua premis kilang berasingan di Kawasan Perusahaan Mergong, kelmarin.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan kesalahan seperti melanggar syarat pas, tidak memiliki pas atau permit sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

“Semua mereka yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 6:47 AM