Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan yakin peruntukan bagi memperkasa keselamatan dan pertahanan negara tidak terjejas dalam Bajet 2016 meskipun negara berdepan cabaran getir ekonomi ketika ini.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keperluan bagi memantapkan pertahanan negara bagi menghadapi segala ancaman perlu diberi keutamaan dengan peruntukan sewajarnya misalnya untuk pembelian aset berkualiti dan terkini untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, perancangan mempersiapkan ATM menuntut pendekatan menyeluruh dan dilihat dalam jangka panjang bukan saja untuk tempoh lima tahun Rancangan Malaysia (RM).

“Kami di kementerian bersiap sedia berdepan keadaan ekonomi cukup mencabar. Dalam konteks perancangan kita untuk bajet di bawah RM Ke-11, menuntut kita melihat peruntukan di luar kotak.

“Saya berpendirian isu keselamatan negara tidak boleh dikompromi walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar. Saya cukup yakin tanggungjawab dan amanah teras kementerian dan ATM tidak akan terjejas,” pada sidang media selepas merasmikan Pra-Pelancaran ‘Malaysian United Run’ anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di Kementerian Pertahanan, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 5:55 AM