PENGUAT kuasa  menangkap anjing liar  dalam operasi pembasmian wabak.
PENGUAT kuasa menangkap anjing liar dalam operasi pembasmian wabak.
 DR Kamaliah  beramah mesra dengan pemilik anjing yang hadir pada Program Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah di Kampung Baru.
DR Kamaliah beramah mesra dengan pemilik anjing yang hadir pada Program Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah di Kampung Baru.
Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Semua pemilik anjing di negeri ini dinasihatkan mengurung haiwan peliharaan mereka bagi tempoh sekurang-kurangnya dua bulan daripada sekarang bagi memastikan ia tidak dijangkiti wabak anjing gila atau rabies.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah Dr Kamaliah Ghazali berkata, langkah itu bagi mengurangkan penularan wabak rabies pada anjing peliharaan selepas terdapat laporan mengenai kes anjing peliharaan yang turut dijangkiti wabak berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya memberi vaksin ke atas haiwan berkenaan di tujuh daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Katanya, semua daerah itu dikategorikan sebagai daerah penampan (immune belt) kerana terletak bersempadan dengan Thailand sekali gus aktiviti kawalan dilaksanakan sepanjang tahun oleh Pejabat Perkhidmatan Veterinar daerah.

“Susulan pewartaan wabak rabies di Perlis pada 19 Ogos lalu dan kejadian kes gigitan anjing di Simpang Empat, Perlis pada 27 Ogos lalu, kita sudah mengaktifkan semula bilik operasi kawalan bagi daerah Kubang Pasu dan Kota Setar.

“Aktiviti memberikan vaksin, kempen kesedaran dan pemantauan juga dipertingkatkan bagi memastikan penyakit terbabit tidak merebak,” katanya dalam sidang media pada program kempen kesedaran rabbies di Kampung Baru, Pokok Sena, di sini, semalam.

Dr Kamaliah berkata, sebanyak 34 sampel otak daripada anjing liar turut diambil untuk pengesahan penyakit bermula Khamis lalu hingga semalam.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 17 sampel didapati positif penyakit rabbies membabitkan lokasi di Kodiang, Padang Sera, Jitra, Bukit Kayu Hitam, Changlun, Sanglang, Anak Bukit dan Bukit Pinang.

“Sementara itu, sebanyak enam kes membabitkan gigitan anjing dilaporkan iaitu tiga kes pada 13 September, dua kes pada 14 September dan satu kes pada Khamis lalu di Kota Setar serta Kubang Pasu.

“Manakala, terdapat satu sampel positif membabitkan kes gigitan anjing peliharaan di Tanjung Bendahara, Kota Setar pada 15 September lalu,” katanya.

Menurutnya, pewartaan bagi Perintah Suntikan Pencegahan Penyakit Anjing Gila juga ditambah bagi lima daerah bukan penampan membabitkan Yan, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu dan Langkawi untuk memastikan aktiviti suntikan pencegahan menggunakan vaksin dikenali Rabisin dijalankan.

Katanya, bermula Januari hingga semalam, pihaknya sudah memberi suntikan vaksin kepada 1,639 ekor anjing di seluruh negeri, kawalan anjing liar atau pemusnahan (476); bilangan sampel diambil (65); dan bilangan sampel positif (18).

“Kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah serta negeri juga dimulakan untuk menangani penularan wabak menerusi pelbagai program dilaksanakan.

“Ia termasuk mempertingkatkan kempen kesedaran awam supaya anjing divaksinasi dan dilesenkan serta menjadi pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab selain kawalan pemindahan dan kawalan import,” katanya.

Katanya, pemeriksaan klinikal terhadap anjing peliharaan juga akan dijalankan jika menerima laporan dan pihaknya berharap kerjasama orang awam atau pemilik anjing melaporkan segera kepada pihak jabatan, jabatan kesihatan dan klinik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:13 AM