Kangar: Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) yang ditubuhkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berfungsi sebagai pusat sehenti universiti berkenaan dalam menyalurkan kepakaran dan khidmat sosial terhadap komuniti di sekitarnya.

Pengarah Institut Kajian Strategik, Kepimpinan dan Komuniti (IKSKK) Hirwan Jasbir Jaafar berkata, UniMAP banyak terbabit dalam aktiviti yang menghubungkan universiti berkenaan dengan masyarakat di luar kampus.

“UniMAP melalui IKSKK berperanan sebagai penghubung antara UniMAP sebagai universiti, kerajaan negeri dan masyarakat.

“Apabila Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ditubuhkan, UCTC diwujudkan lalu diletakkan di bawah kawal seliaan IKSKK,” katanya.

Beliau berkata, selain memberi kemudahan buat komuniti dalam mengakses kepelbagaian fasiliti yang wujud di UniMAP, ia membuka peluang untuk program sukarelawan antara siswazah dengan komuniti tempatan.

“Sebelum ini, kemudahan untuk komuniti dilakukan tidak setempat, namun penubuhan UCTC UniMAP dapat menyalurkan informasi atau kepakaran kepada masyarakat terutama di luar bandar yang mahu pengenalan kepada teknologi terkini ke atas setiap produk atau tanaman yang diusahakan mereka,” katanya.

UCTC UniMAP diluluskan penubuhannya pada Mac 2013 lalu dan di bawah tanggungjawab pegawainya, Siti Norrafidah Md Zin.

Beliau berkata, antara perkhidmatan yang ditawarkan UCTC ialah fasiliti bukan kemudahan sukan seperti penginapan, fasiliti sukan, kursus jangka pendek, Program Latihan Perniagaan, Program Sukarelawan, Latihan Industri, Kursus Pengajian Umum dan Program Pemindahan Ilmu.

“Secara keseluruhannya, inisiatif yang dilaksanakan sejak November 2012 kini mencapai beberapa perkara antaranya seramai 793 graduan universiti awam ini bergelar usahawan,” katanya yang memaklumkan lebih 633 program sukarelawan dilaksanakan sejak diperkenalkan.

Menurutnya, UCTC UniMAP sedia berkongsi kepakaran dengan masyarakat untuk manfaat bersama.

“Sebagai contoh, apabila seseorang dari luar bandar datang ke UCTC bagi meminta pendapat atau bantuan mengenai inisiatif sesuai yang boleh dilakukan terhadap tanah terbiar, kami berusaha merencana dan memberi nasihat untuk mendapat manfaat.

“Bagaimanapun, inisiatif itu perlu membabitkan komitmen semua wakil rakyat di negeri ini dan agensi kerajaan serta swasta dalam menjayakan setiap projek. Malah, penghasilan inovasi atau produk baru di peringkat luar bandar dapat diketengahkan melalui UCTC UniMAP,” katanya.

Selain di IKSKK, UCTC UniMAP menjalin hubungan dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mini di Kampung Bongor Kudung di Simpang Empat, Kok Klang dan FELCRA Lubuk Sirih di Padang Besar.

“Penduduk di luar bandar boleh mendapatkan nasihat dan kepakaran kami melalui RTC mini yang wujud jika mereka tidak tahu ke IKSKK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:14 AM