Kota Bharu: Perintah tahanan reman terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun yang didakwa membuang anak yang masih bertali pusat di Jalan Salor, di sini, 14 Ogos lalu, dilanjutkan tiga hari lagi.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Nor Faizah Abdullah di wad bersalin di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, semalam.

Difahamkan remaja perempuan itu sedang menjalani rawatan di wad berkenaan.

Sebelum ini, remaja yang masih bersekolah di tingkatan dua itu ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan.

Polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang peniaga wanita terjaga daripada tidur selepas dikejutkan dengan bunyi tangisan bayi bersebelahan rumahnya di Jalan Salor.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, wanita berusia 48 tahun itu keluar dan menemui bayi perempuan yang masih bertali pusat diletakkan di atas rumput tanpa sebarang alas.

Usaha mengesan teman lelaki mangsa sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 8:55 AM