PENDUDUK menggunakan sampan sebagai pengangkutan sambil meninjau rumah yang ditenggelami air.
PENDUDUK menggunakan sampan sebagai pengangkutan sambil meninjau rumah yang ditenggelami air.

Yangon: Kejadian banjir besar di Myanmar yang kini meragut hampir 100 nyawa mendorong Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menghantar delegasi ke negara berkenaan, semalam bagi memberi bantuan kepada penduduk di kawasan terjejas.

Misi empat hari berkenaan terdiri daripada tujuh sukarelawan dan wartawan Harian Metro dijangka menyampaikan misi bantuan di sekitar Delta Irrawaddy dan wilayah Rakhine yang terjejas teruk.

Dana bantuan banjir diperoleh menerusi kutipan derma yang diwujudkan sejak sebulan lalu menerusi derma orang ramai termasuk syarikat korporat.

Misi bantuan berkenaan dijangka menyerahkan barangan keperluan asas seperti beras, kacang, tepung dan minyak untuk rakyat tempatan yang dilihat kekurangan makanan sejak bencana berkenaan melanda.

Lebih 50,000 hektar kawasan pertanian di sekitar lembah itu musnah membabitkan sembilan daripada 15 negeri.

Antara negeri terjejas termasuklah Kachin, Chin, Sagaing, Bago, Magwe, Rakhine dan Shan yang ketika ini menagih simpati masyarakat antarabangsa.

Bukan itu saja, penduduk di negeri terbabit berdepan risiko kematian akibat serangan binatang buas selain kebimbangan penularan wabak seperti malaria dan denggi.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan di bandar ini mendapati terdapat beberapa kumpulan mewakili badan bukan kerajaan memohon sumbangan daripada pengguna jalan raya.

Masing-masing memakai baju serba biru dengan memegang bekas memohon simpati orang yang lalu lalang di sekitar Pazundaung.

Naib Presiden MAPIM, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, misi ini adalah yang kedua dalam tempoh kurang sebulan dengan kali terakhir Aidilfitri lalu.

“Kami membawa bantuan dan amanah rakyat Malaysia untuk saudara seagama di Myanmar iaitu Meiktila dan Rakhine. Doakan misi ini berjaya kerana wakil kami di sana memaklumkan situasi banjir agak teruk dan kami perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 10:24 AM