Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi masa 14 hari bermula semalam kepada Wall Street Journal (WSJ) untuk mengesahkan pendirian mereka berhubung dakwaan menyalahgunakan dana AS$700 juta (RM2.6 bilion) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebelum tindakan undang-undang diambil.

Melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Najib atas kapasiti peribadinya mengemukakan surat itu terhadap Lembaga Pengarah WSJ, Dow Jones & Company yang beribu pejabat di New York.

Berdasarkan kenyataan media yang disediakan oleh peguam Wan Azmir Wan Majid, artikel bertarikh 2 Julai itu didakwa dicemari dengan pelbagai tuduhan terhadap Najib yang membabitkan beberapa syarikat dan transaksi.

“Kami diminta untuk mengenal pasti pihak yang terbabit dalam penulisan, pengedaran dan penerbitan artikel itu. Ia bagi membolehkan pihak kami menamakan individu yang betul dalam tindakan undang-undang yang akan diambil nanti.

“Ini memerlukan perbincangan dan penyelidikan memandangkan artikel itu tidak memberi maklumat jelas untuk membolehkan sebarang surat undang-undang atau dokumen mahkamah dihantar,” katanya.

Menurut Wan Azmir, isu kedua yang menjadi perhatian adalah mengenai bidang kuasa memandangkan penerbitan asal WSJ adalah dari Amerika Syarikat serta boleh diakses di seluruh dunia.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:33 AM