Sebahagian penduduk  berbuka puasa di atas jalan yang menjadi tradisi sejak 50 tahun lalu di surau Kampung Gelang Mukim Naga.
Sebahagian penduduk berbuka puasa di atas jalan yang menjadi tradisi sejak 50 tahun lalu di surau Kampung Gelang Mukim Naga.

Jitra: Amalan memasak sebelum berbuka puasa beramai-ramai di atas permukaan tar di kawasan surau menjadi budaya unik penduduk di Kampung Gelang, Mukim Naga, di sini, sejak puluhan tahun lalu.

Walaupun hujan, ia tidak menghalang penduduk bergotong-royong menyediakan juadah berbuka secara tradisi ini.

Pengerusi program, Zainol Ahmad, 65, berkata, ia amalan nenek moyang mereka setiap kali menjelang Ramadan sejak tahun 1950-an lalu untuk berkumpul, selain bagi merapatkan hubungan silaturahim.

“Kami sebagai warga kampung akan teruskan tradisi ini untuk meraikan Ramadan.

“Pogram seumpama ini membolehkan penduduk kampung berkumpul dan beramah mesra sambil bersila di atas tanah, rumput dan tar untuk berbuka puasa.

“Kami sudah biasa berbuka di atas jalan sekitar surau ini walaupun, ada dalam kalangan penduduk menggunakan akhbar sebagai alas duduk,” katanya, di sini, semalam.

Zainol berkata, seluruh penduduk kampung bergotong-royong memasak juadah tradisi sama iaitu gulai daging bersama rebung dan rendang daging.

“Setiap tahun kami tidak pernah menukar juadah berbuka ini kerana hanya menu itu saja disajikan sejak 60 tahun lalu sekali gus perlu dikekalkan sebagai lambang perpaduan penduduk kampung ini,” katanya.

Katanya, hampir 400 penduduk tanpa mengira usia terbabit dalam program itu, termasuk penduduk kampung berhampiran yang turut serta memeriahkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 8:44 AM