LONGGOKAN sampah selepas banjir di hadapan Masjid As-Syarif Meru.
LONGGOKAN sampah selepas banjir di hadapan Masjid As-Syarif Meru.
Oleh Ayusliza Azizan

Klang: “Hati saya masih tidak tenteram walaupun sudah dibenarkan pulang ke rumah. Banjir kilat mungkin akan berlaku lagi,” kata Shahrin Mohamed Yusak, 46, mangsa banjir di Persiaran Hamzah Alang, Meru, di sini.

Dia adalah antara 48 penduduk yang dipindahkan susulan kejadian banjir membabitkan kawasan Jalan Salleh, Jalan Jabar, Jalan Cempaka, Jalan Kledang dan Pekan Meru, di sini, sejak Ahad lalu.

Menurutnya, penduduk kini tertekan dan letih berikutan terpaksa membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur akibat banjir.

“Semalam (kelmarin) saya pulang ke rumah selepas air surut, sehari suntuk saya membersihkan rumah bagi membuat persediaan menyambut puasa.

“Saya bimbang jika banjir akan berlaku lagi tambahan cuaca kini tidak menentu,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Zubaidah Ismail, 49, berkata, dia sekeluarga lega dibenarkan pulang.

“Bagaimanapun, saya berharap banjir tidak akan berlaku lagi dalam masa terdekat ini,” katanya.

Ahad lalu, seramai 48 penduduk membabitkan 15 keluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini, akibat banjir kilat yang melanda kawasan kediamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 10:22 AM