KEADAAN banjir yang masih tidak surut di Persiaran Hamzah Alang, Meru, Klang.
KEADAAN banjir yang masih tidak surut di Persiaran Hamzah Alang, Meru, Klang.
Oleh Ayusliza Azizan

Klang: “Rumah kami sekali lagi dilimpahi banjir susulan hujan lebat sejak jam 2 petang semalam (kelmarin). Akibatnya kediaman kami terus ditakungi air hingga hari ini (semalam),” luah Zubaidah Ismail, 49, mangsa banjir di Persiaran Hamzah Alang, Meru, di sini.

Dia antara 48 penduduk membabitkan 15 keluarga yang terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini, sejak petang kelmarin akibat banjir kilat yang melanda kawasan kediamannya.

Antara kawasan lain yang turut terjejas ekoran banjir kilat itu adalah Jalan Salleh, Jalan Jabar, Jalan Cempaka, Jalan Klebdang dan Pekan Meru, di sini.

Zubaidah yang juga seorang suri rumah berkata, rumahnya sudah dua kali dilanda banjir tahun ini menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah.

“Saya berharap banjir kali ini segera surut bagi membolehkan kami menyambut puasa. Kebiasaannya air banjir ini akan bertakung sekurang-kurangnya tiga hari sebelum surut,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suami dan tiga anak tiba di pusat pemindahan banjir itu pada jam 3 petang kelmarin selepas rumahnya ditenggelami banjir hingga ke paras lutut.

Seorang lagi mangsa banjir, Ruhaidah Abdullah, 51, berkata, dia dan suaminya Hamir Kamal, 50, sudah lali dengan kejadian banjir di kawasan kediamannya di Persiaran Hamzah Alang.

“Setiap kali hujan, pasti akan berlakunya banjir. Kami tidak mampu berpindah mencari kediaman lain berikutan rumah itu adalah rumah pusaka,” katanya.

Ruhaidah berkata, dia tambah tertekan berikutan suaminya menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Katanya, beliau berharap masalah banjir kilat ini dapat diatasi segera pihak berwajib.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Kahar Muzakkir Munawir berkata, kawasan sekitar Meru ini sering dilanda banjir terutama di Persiaran Hamzah Alang berikutan masalah perairan di kawasan ini yang tidak menepati piawaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 11:04 AM