HASHIM menunjukkan replika lesen memandu yang diperolehnya pada program SKSJ di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir.
HASHIM menunjukkan replika lesen memandu yang diperolehnya pada program SKSJ di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir.

Kuala Terengganu: “Rasa macam tak percaya, gembira ada, terharu pun ada,” kata Hashim Abd Rahman, 79, selepas menerima lesen memandu melalui program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir, di sini, kelmarin.

Dengan memiliki lesen kelas B2 itu bermakna impian warga emas terbabit yang selama ini menunggang motosikal tanpa lesen berakhir.

Katanya, sebelum ini dia menyedari tindakannya menunggang motosikal tanpa lesen adalah salah dan sentiasa menanam impian memiliki lesen memandu.

“Memang saya hanya guna motosikal sekitar kampung ini tetapi rasa takut kerana tiada lesen tetap ada.

“Anak selalu menasihatkan saya supaya mengambil lesen tetapi memandangkan keadaan sekarang ini semuanya menggunakan komputer, saya lupakan hasrat itu.

“Bagaimanapun apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi peluang kepada warga emas memiliki lesen, saya mengambil kesempatan ini dan bersyukur hanya dengan tiga kali membuat latihan, saya lulus ujian,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup program berkenaan yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad dan Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie.

Pada majlis itu, enam calon menerima replika lesen memandu berserta topi keledar.

Seramai 447 calon membabitkan 210 calon lelaki dan 237 wanita berusia 45 tahun hingga 79 tahun menduduki ujian memandu bermula awal Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 7:26 AM