Muhaamad Hafis Nawawi

Pokok Sena: Sekurang-kurangnya 3.5 juta rakyat negara ini masih tidak memiliki lesen memandu.

Daripada jumlah itu, antara 60 dan 70 peratus daripadanya terdiri mereka yang menetap di luar bandar.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob, berkata: “Sehubungan itu, kita (JPJ) melaksanakan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) dan program MyLesen.

“Program SKSJ ini khusus untuk golongan 45 tahun ke atas manakala bagi masyarakat Orang Asli pula bermula daripada 21 tahun ke atas dengan bayaran RM180.

“Program MyLesen pula disediakan kepada golongan muda terutama pelajar berumur 16 tahun ke atas mendapatkan lesen.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan SKSJ Daerah Pokok Sena di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, di sini, tadi.

Yusoff berkata, 234 program SKSJ sudah dilaksanakan di seluruh negara dengan 93,461 peserta sudah memiliki lesen sejak program ini diperkenalkan pada 2009.

“Kini 366 peserta yang menyertai SKSJ di daerah ini sudah memiliki lesen memandu dan program seperti ini akan diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 4:01 PM