Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan sembilan A+ ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 layak menerima penajaan Bursary daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Bahagian Tajaan Pendidikan KPM dalam satu kenyataan berkata, penajaan itu dibuat bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar tanpa mengira etnik, kaum dan latar belakang keluarga.

Beliau berkata, ia adalah pembiayaan dalam bentuk yuran pengajian, elaun sara hidup dan penginapan bagi pelajar untuk mengikuti pengajian program persediaan di institusi pengajian dalam negara, sebelum melanjutkan pendidikan di peringkat Ijazah Pertama di dalam atau luar negara.

“Program persediaan yang ditaja di bawah penajaan Bursary adalah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, A-Level dan International Baccalaureate (IB).

“Penajaan ini ditawarkan secara automatik kepada semua pelajar yang memperoleh sembilan A+ ke atas dalam keputusan SPM, kelmarin,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelajar boleh membuat semakan tawaran menerusi Sistem Aplikasi Online Bursary di laman sesawang KPM di www.moe.gov.my yang dibuka mulai semalam (4 Mac) hingga 30 Jun ini.

Menurutnya, pelajar yang ditawarkan penajaan itu perlu membaca dan memahami semua panduan dan syarat penajaan yang ditetapkan.

Selain itu, pelajar juga perlu mengemas kini maklumat diri menerusi Sistem Aplikasi Online Bursary.

Katanya, pelajar juga boleh menghubungi Bahagian Tajaan Pendidikan KPM di talian hotline 03-83217086 atau e-mel di alamat [email protected] untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:26 AM