ANGGOTA polis menahan Nik Nazmi (tengah), beliau kemudian dibebaskan selepas pihak berkuasa memberi kata dua, semalam.
ANGGOTA polis menahan Nik Nazmi (tengah), beliau kemudian dibebaskan selepas pihak berkuasa memberi kata dua, semalam.

Kuala Lumpur: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Fariz Musa dan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang digantung pengajian, Adam Adli ditahan polis di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mereka ditahan kerana menghadiri perhimpunan dan berucap yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan.

“Adam ditahan kira-kira jam 5.30 petang, sementara Fariz jam 6 petang sebelum mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menyebabkan puluhan penyokong berhimpun di hadapan IPD Dang Wangi menyatakan bantahan.

“Mereka kemudian dibawa ke lokap Jinjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Difahamkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mula berhimpun di pusat beli-belah itu kira-kira jam 4.30 petang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad pada mulanya turut ditahan, namun dibebaskan selepas pihak berkuasa memberi kata dua meminta supaya semua penyokongnya yang berkumpul di hadapan IPD Dang Wangi, beredar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:13 AM