Miri: Seorang lelaki ditahan kelmarin, menjadikan dia suspek kelima bagi membantu siasatan kes kebakaran sebuah rumah sehingga menyebabkan kematian tiga beranak di Taman Quadruplex, Permyjaya, di sini, Rabu lalu.

Lelaki berusia lingkungan 20 tahun itu ditahan di depan sebuah rumah di Permyjaya dan dibawa ke Balai Polis Miri, jam 4.30 pagi, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathon Tinggit berkata, semua suspek yang ditahan berusia 20 hingga 62 tahun termasuk seorang wanita direman selama tujuh hari.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian mungkin berpunca daripada dendam kerana seorang suspek pernah ditahan ketika cuba membakar garaj kereta di depan rumah mangsa menggunakan bom petrol, dua hari sebelum kejadian.

“Hasil soal siasat mendedahkan seorang suspek melakukan jenayah itu dengan melontar bom petrol di rumah yang diubah suai menjadi kedai runcit.

“Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan hasil pemeriksaan rekod jenayah lampau mendapati suspek utama kes ini pernah ditahan atas kesalahan sama dan jenayah lain pada tahun lalu,” katanya di sini, semalam.

Harian Metro kelmarin melaporkan tiga beranak maut dalam kebakaran di sebuah rumah dipercayai akibat perbuatan khianat yang berpunca daripada salah faham.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:30 AM