Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Semua 371 penumpang pesawat D7 172 dari Kuala Lumpur ke Jeddah yang terpaksa berpatah balik disebabkan masalah teknikal selamat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 7.23 malam, semalam menggunakan pesawat lain.

Difahamkan pesawat yang membawa 10 anak kapal berkenaan terpaksa berlegar-legar di ruang udara Selat Melaka kira-kira lima jam.

Jurucakap AirAsia X berkata, semua penumpang dipindahkan ke pesawat lain dengan kod penerbangan baru iaitu D7 0172D.

Dalam kenyataan dikeluarkan syarikat AirAsia X semalam, pihak syarikat mengesahkan pesawat D7 172 dari Kuala Lumpur ke Jeddah terpaksa berpatah balik disebabkan masalah teknikal.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam SMSnya kepada BERNAMA mengesahkan perkara itu dan menganggapnya sebagai rutin biasa bagi pesawat Airbus 330-343 untuk kembali ke pangkalan.

“Ia boleh meneruskan perjalanan ke Jeddah, tetapi kami berpendapat lebih baik ia berpatah balik, tiada yang luar biasa,” katanya.

Berita mengenai insiden itu tersebar luas dalam media sosial, dan pemantauan menerusi laman web radarflight 24 menunjukkan pesawat itu yang berlepas dari klia2 pada jam 12.20 tengah hari dan dijangka sampai di Jeddah pada jam 11.15 malam berpatah balik dan berlegar-legar di ruang udara Selat Melaka.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro untuk menemubual penumpang tidak berjaya kerana difahamkan mereka tidak dibenarkan keluar dari tempat menunggu.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai di dalam akaun Twitternya turut mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa pesawat AirAsia itu menghadapi masalah teknikal dan terpaksa berlegar-legar di ruang udara Selat Melaka.

“(Bagaimanapun) pesawat itu selamat mendarat di klia2,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 8:32 AM