Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan 1 April ini sebenarnya adalah cukai yang tidak membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Ini berikutan harga barang keperluan asas akan lebih murah dan tiada peningkatan harga kerana GST dikenakan ke atas nilai tambah di setiap peringkat perniagaan bermula daripada pembekal sehingga kepada pengguna.

Pengeluaran dan penjualan akan melalui beberapa peringkat pungutan dan pembayaran GST di mana setiap peniaga dalam rantaian pembekalan membayar GST kepada pembekal masing-masing ke atas barang atau perkhidmatan yang diperoleh dan mengenakan serta memungut GST ke atas barang atau perkhidmatan yang dijual oleh mereka.

Apabila dilaksanakan, GST akan memberi manfaat kepada rakyat seperti pemberian bantuan tunai RM300 sekali bayar kepada penerima isi rumah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kadar cukai individu akan dikurangkan satu hingga tiga peratus dan struktur cukai pendapatan individu disusun semula.

Selain itu, perbelanjaan latihan perakaunan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkaitan GST akan diberi potongan cukai tambahan bagi tahun taksiran 2014 dan 2015.

Menerusi pelaksanaan ini juga, kerajaan mempunyai ruang untuk mempelbagaikan hasil pendapatan negara dengan kurang kebergantungan kepada sumber petroleum sebanyak 32.6 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan cukai pendapatan (56.4 peratus).

Hasil cukai yang lebih tinggi dapat membiayai lebih banyak projek pembangunan dan sosial seterusnya apabila tahap ekonomi berada pada tahap memberangsangkan ia akan membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat terutama generasi muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 10:43 AM