Oleh Nur Saliawati Salberi

Shah Alam: Bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan runcit secara mendadak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Kuala Selangor menjalankan Ops Pasca Banjir.

Operasi yang dijalankan itu mensasarkan dua kawasan sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam yang mana tumpuan utama operasi adalah di premis perniagaan yang menjual barangan runcit serta keperluan asas harian.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Selangor K Ramesh berkata, selain menyahut seruan kerajaan yang komited untuk memastikan bekalan mencukupi, operasi berkenaan juga diadakan bagi memastikan peniaga mematuhi peruntukan perundangan dan memberi perlindungan kepada pengguna.

“Operasi yang diadakan baru-baru ini membabitkan 16 premis yang terdiri daripada peruncit dan pemborong dan hasil pemeriksaan mendapati barangan kawalan seperti tepung, minyak masak, gula dan keperluan lain dijual mengikut harga ditetapkan selain bekalan mencukupi.

“Bagaimanapun, seorang pemborong dikenakan tindakan kerana gagal menyelenggara buku stok dan jika didapati bersalah dia boleh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati tidak timbul isu kekurangan bekalan di daerah berkenaan kerana bekalan barangan keperluan mencukupi.

Ramesh berkata, dalam hal ini pengguna perlu bijak dalam membuat pilihan, sekiranya mendapati harga barang yang dijual tidak munasabah mereka perlu berani untuk tampil dan membuat aduan.

Katanya, mana-mana peniaga atau pemborong yang didapati menjual barangan keperluan dengan mengambil keuntungan yang melampau atau menyorok barangan terbabit mereka boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat sekiranya mengenai kekurangan bekalan mahu pun peniaga yang menyorokkan bekalan supaya menghubungi KPDNKK Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 6:41 AM