PESERTA KL Car Free Morning 2015 yang menyokong program DBKL di Dataran Merdeka.
PESERTA KL Car Free Morning 2015 yang menyokong program DBKL di Dataran Merdeka.

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal melaksanakan satu lagi projek pembinaan laluan basikal, awal tahun ini di seluruh pusat bandar bagi kemudahan dan keselesaan pengguna.

Projek berkenaan selaras hasrat kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di pusat bandar.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya menerima sambutan hangat daripada program KL Car Free Morning tahun lalu dan ia akan dijadikan laluan permulaan bagi projek itu.

“Sekiranya Program KL Car Free Morning berjaya mengurangkan kesesakan trafik pada hari bekerja, kita akan mengenal pasti lokasi lain untuk membina laluan sama.

“Mereka tidak perlu lagi membawa kenderaan ke tempat kerja, sebaliknya hanya berbasikal supaya pelepasan gas karbon monoksida dapat dikurangkan,” katanya pada Program Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2015, di sini, semalam.

DBKL sebelum ini mengumumkan tiga projek laluan berbasikal sepanjang 11.5 kilometer (km) membabitkan laluan dari Midvalley ke Dataran Merdeka sepanjang 5.5 km, Wangsa Maju dan Taman Melati (4 km) serta Taman Batu Muda (2 km) dengan anggaran kos RM3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:58 AM