Kuala Lumpur: Sektor pencarian AirAsia Indonesia QZ8501 diperluaskan ke sebelah timur sebanyak 60 batu nautika berbanding kawasan semalam.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menerusi catatan dalam Twitter berkata, pencarian kawasan seluas 57 x 10 batu nautika itu membabitkan lima kapal bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) QZ8501 semalam.

“Kapal KD Pahang ditugaskan dalam Sektor II (2,550 batu nautika persegi) manakala KD Lekir dan KD Lekiu di mencari Sektor III (4,590 batu nautika persegi).

“Keadaan sangat mencabar ketika ini kerana laut di kawasan carian masih bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 4 meter serta kelajuan angin antara 20 hingga 30 kilometer sejam,” katanya.

Sementara itu Komander Lapangan Terbang (Lanud) Iskandar Pangkalan Bun, Johnson Simatupang dipetik berkata, pencarian diperluaskan di sekitar selat Karimata susulan arus angin yang berkemungkinan mengganggu operasi pencarian.

“Fokus adalah mencari di kawasan lebih luas termasuk di tepi pantai dengan mengambil kira pergerakan objek yang mungkin dihanyutkan mengikut arus angin ke pesisir pantai.

“Ombak dan angin kini terarah ke pantai. Saya sudah mengarahkan pesawat untuk melakukan pencarian di lokasi dirasai mayat mangsa berada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:57 AM