Jitra: Siasatan awal polis mendapati kereta Perodua Kancil yang dinaiki lima penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Shah (POLIMAS), di sini, kelmarin dipercayai dipandu laju sehingga menyebabkan dua daripada mereka maut di tempat kejadian.

Difahamkan, terdapat kesan brek panjang di lokasi nahas dipercayai dipandu laju sehingga menyebabkan kemalangan itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan terperinci daripada pemandu kereta terbabit untuk membantu siasatan.

“Pemandu kereta Perodua Kancil itu dikenali sebagai D Sarwin, 20, manakala dua lagi yang terselamat ialah Siti Nursyahirah Fathullah Omar dan Syahirah Kamaluddin, masing-masing berusia 19 tahun yang hanya cedera ringan.

“Seorang lagi mangsa iaitu penunggang motosikal yang dirempuh kereta berkenaan dikenali sebagai Mohd Syukri Shafie, 42, turut dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Jitra (HJ).

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, lima penuntut semester satu POLIMAS dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menghadiri majlis kenduri rakan mereka di Alor Setar.

Kereta yang dipandu Sarwin dikatakan terbabas sebelum terhumban ke dalam parit berair menyebabkan dua mangsa tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Naemah Kamal, 19, dari Padang Serai, Kulim dan Nur Syuhada Abdul Kadir, 19, dari Kampung Pegawai, Alor Janggus, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 9:11 AM