Oleh Wahi Aziz

Kuala Lumpur: “Bagi saya mudah saja, apabila orang bercakap itu dan ini tak kiralah yang positif atau negatif, itu menunjukkan mereka sebenarnya prihatin dan mengikuti kerja saya. Tak jadi masalah besar pun pada saya,” luah penyanyi dan pengacara Datuk AC Mizal berhubung cemuhan berantai pihak tertentu terhadap muzik video lagu terbarunya, Paranoid di YouTube.

Ketika dihubungi AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 43, menganggap reaksi dan komen negatif kononnya muzik video itu tidak asli dan meniru beberapa muzik video artis Hollywood termasuk Britney Spears adalah perkara lumrah dalam dunia hiburan.

“Sudah 22 tahun saya bergelar anak seni dan sepanjang tempoh itu sudah macam-macam perkara yang baik dan buruk saya lalui. Kalau ada yang nak cakap saya meniru atau apa sekali pun, tak kisahlah sebab kalau tiru daripada yang terbaik (artis antarabangsa), rasanya tak jadi masalah.

“Pada saya usaha mereka menghasilkan kualiti kerja seni yang baik wajar dihargai dan tidak perlu jadi isu kalau kita ambil sedikit sebanyak idea dari luar. Dalam nyanyian dan muzik hari ini, semuanya kita ambil daripada idea dan konsep yang sudah wujud daripada era sebelumnya juga

“Kalau nak kira perasaan saya bila dihentam macam-macam, memanglah akan terasa hati, tapi saya tak boleh pasrah dan mengalah dengan kata-kata orang,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:14 AM