TAHIR bergantung kepada alat bantuan pernafasan sejak 15 November lalu.
TAHIR bergantung kepada alat bantuan pernafasan sejak 15 November lalu.

Kota Tinggi: Seorang lelaki warga emas sempat menunggang motosikal untuk pulang ke rumah selepas disengat tebuan ketika membersihkan kebun kelapa sawitnya di FELDA Simpang Waha, di sini, 15 November lalu.

Bagaimanapun, akibat disengat, Tahir Sahadan, 65, kini tidak sedarkan diri dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Kejadian jam 8 pagi itu menimpa Tahir ketika dia ke kebun kelapa sawitnya bersendirian untuk memotong rumput.

Isterinya, Fatimah Mamat, 55, berkata, Tahir bergegas pulang dan memberitahu dia disengat tebuan sebelum dibawa ke klinik di bandar itu untuk rawatan.

“Doktor yang merawat suami memaklumkan seekor tebuan masuk ke dalam telinga Tahir dan dia perlu dirujuk ke HSI untuk mengeluarkan serangga terbabit.

“Selepas tebuan dikeluarkan dan doktor mengesahkan suami stabil, dia dibenarkan pulang ke rumah pada hari sama,” katanya, semalam.

Fatimah berkata, bagaimanapun, keesokan harinya (16 November), Tahir mengadu tidak sihat sehingga hampir tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke HSI.

“Tahir kemudian dirujuk ke unit rawatan rapi (ICU) dan sehingga hari ini (semalam), dia masih tidak sedarkan diri.

“Doktor memaklumkan ia berlaku akibat faktor umur suami serta kesan sengatan,” katanya.

Menurut Fatimah, Tahir bergantung dengan bantuan alat pernafasannya, namun mampu bertindak balas apabila ditanya berbanding sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:15 AM