BSH blue betina.
BSH blue betina.
Hafiz Ithnin


MENJADI 'pak bidan' ketika kucing dalam baka British Short Hair (BSH) melahirkan anak bukan perkara asing bagi lelaki berusia 40 tahun ini.

Mohd Nirman Mohd Najib yang memiliki pasangan BSH pertamanya sejak tujuh tahun lalu, tidak menyangka kedua-duanya menjadi induk melahirkan ramai anak kucing BSH.

Ketika ini, Mohd Nirman bukan sahaja memiliki pasangan BSH yang mempunyai bulu berwarna 'blue' yang sebenarnya kelabu, malah golden, silver shaded, golden dan golden point.

Katanya, ketika ini dia memelihara tujuh BSH pelbagai jenis warna bulu dan setiap seekor mempunyai karakter unik serta tersendiri.

"Sejak tujuh tahun lalu, kucing saya adalah pembaka BSH. Jika ingin dihitung, kucing BSH milik saya sudah melahirkan 50 anak.

"Kebiasaannya anak-anak BSH yang sudah putus susu atau berusia tiga bulan, saya jual kepada peminat kucing BSH yang mempunyai permintaan tinggi," katanya.

Bercerita pengalamannya menjadi pak bidan kepada kucing BSH yang melahirkan anak, katanya, dia perlu peka dengan keadaan anak kucing yang baharu dilahirkan supaya tidak berlaku kematian.

"Anak-anak kucing yang baharu sahaja dilahirkan masih berada dalam kantung dan kadangkala si ibu tidak memecahkan kantung berkenaan menyebabkan anaknya sesak nafas serta mati.

"Jadi, di rumah saya mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang memantau keadaan ibu BSH yang bakal melahirkan supaya anak-anaknya selamat," katanya.

Tambahnya, bagi memastikan ibu BSH dalam keadaan baik ketika bunting, dia juga memberi penjagaan yang lebih seperti memberi makanan tambahan dan vitamin serta susu.

WAJAH ganas yang sebenarnya manja.
WAJAH ganas yang sebenarnya manja.

"Kucing yang bunting ini sama seperti perlu dijaga seperti wanita mengandung. Saya perlu memberikan makanan sihat kepada si ibu supaya anak dilahirkan juga sihat.

"Perkara paling penting kita tidak mahu berlaku kematian anak kucing itu kerana mungkin si ibu tidak cukup zat. Pemakanan ketika ibu kucing mengandung juga amat perlu diberi perhatian," katanya.

Mohd Nirman berkata, secara purata seekor ibu kucing mampu melahirkan tiga kali dalam tempoh dua tahun. Setiap tempoh bunting mengambil masa 63 hingga 65 hari.

KESIHATAN BSH menjadi keutamaan Mohd Nirman.
KESIHATAN BSH menjadi keutamaan Mohd Nirman.

Bercerita mengenai keunikan BSH, katanya, selain mempunyai ciri-ciri bentuk fizikal seperti warna bulu pendek yang menarik dan mempunyai leher pendek, BSH juga antara kucing yang nampak garang, tetapi manja.

"Tingkah laku kucing BSH ini berbeza-beza ada yang kelihatan malas dan hanya ingin tidur selain ada juga yang sentiasa minta kita membelainya.

"Bagi saya perkara paling penting ialah semua kucing dalam keadaan sihat dan mempunyai tubuh yang tegap," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 6:12 AM