KESTABILAN Internet menjadi faktor penting kepada orang awam sepanjang tempoh PKP memandangkan semua pengguna melaksanakan tugasan rutin pejabat di rumah.
KESTABILAN Internet menjadi faktor penting kepada orang awam sepanjang tempoh PKP memandangkan semua pengguna melaksanakan tugasan rutin pejabat di rumah.
Muhammad Saufi Hassan

RAKYAT di negara ini dilihat menghabiskan lebih banyak masa menerusi penstriman video, YouTube dengan peningkatan beberapa ribu TeraBytes (TB) manakala bagi mesej segera dan suara menerusi 'Protokol Internet' (VoIP) mencatatkan peningkatan lebih 50 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, jaringan Internet pada masa kini sudah diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting atau 'essential services' sekali gus menjadi dasar kerajaan untuk meningkatkan peratusan kesalinghubungan antara kawasan luar bandar dan bandar.

Perkhidmatan itu menjadi teras utama terutama ketika krisis yang melanda seluruh dunia iaitu penularan virus Covid-19 sehingga memaksa hampir semua pekerja mewujudkan 'ruang pejabat maya' di rumah masing-masing.

Mesyuarat menerusi sidang video, penstriman dan pembelajaran maya menjadi teras sepanjang tempoh ini sehingga berlaku peningkatan kepenggunaan Internet yang ketara dan wujud kelompok pengguna yang mengalami gangguan perkhidmatan kerana tekanan yang tinggi bagi perkhidmatan berkenaan.

Penggunaan data kini meningkat pada kadar yang tidak pernah berlaku dan berdasarkan pemantauan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti Maxis mendapati bahawa trafik fiber kediaman serta jumlah data mudah alih harian meningkat dengan ketara sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Terdapat juga peningkatan dalam trafik panggilan suara pada hari pertama PKP, walaupun kembali normal kepada trend sebelum PKP.

Ketua Pegawai Teknologi dan Maklumat Maxis, Morten Bangsgaard berkata, syarikatnya berusaha untuk memastikan sambungan talian tetap kekal tidak terganggu dan memberi lebih banyak sokongan kepada semua pekerja, pelanggan, perniagaan dan petugas barisan hadapan semasa arahan PKP.

DATA menunjukkan penstriman video YouTube mencatatkan peningkatan ketara.
DATA menunjukkan penstriman video YouTube mencatatkan peningkatan ketara.

"Amat jelas bahawa pengguna kami banyak menggunakan data terutamanya dalam masa yang mencabar ini. Berikutan itu, amat penting bagi pelanggan kami untuk mendapatkan pengalaman Internet yang baik untuk keperluan harian mereka.

"Juruteknik kesalinghubungan kami amat berdedikasi untuk memantau trafik penggunaan dengan teliti dan bekerja sepanjang masa bagi memastikan rangkaian tetap dan mudah alih berjalan dengan lancar. Seni bina rangkaian BCP kami juga berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi cabaran permintaan," katanya.

Sementara itu, pelayaran Internet, penstriman video, mesej segera dan alat kolaborasi menyumbang sebahagian besar kepada peningkatan trafik data dengan peranti mudah alih yang kebanyakannya digunakan untuk aktiviti penyemakan imbas.

Laporan Prestasi Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) 2019 yang mengukur prestasi perkhidmatan mudah alih dan suara jalur lebar tetap berdasarkan piawaian wajib untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) menunjukkan Maxis kekal sebagai peneraju antara semua penyedia perkhidmatan.

Morten berkata, pengekalan prestasi cemerlang itu antara lain adalah komitmen yang tinggi pihak syarikat bersama petugas teknikal yang berada di lapangan untuk memastikan kestabilan jaringan pada setiap masa.

Maxis juga melancarkan beberapa inisiatif untuk meringankan beban pelanggannya sepanjang tempoh PKP, termasuk data percuma untuk pelanggan prabayar dan pascabayar, serta langganan percuma untuk alat kerjasama perniagaan bagi perusahaan.

Syarikat itu juga menghentikan semua caj data bagi lawatan ke laman web terpilih untuk info dan perkembangan terkini, sementara semua panggilan ke agensi penting termasuk Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan Jabatan Kesihatan Negeri juga percuma sepanjang tempoh PKP.

TEKANAN kepenggunaan Internet meningkat dalam kadar drastik dan ia disifatkan tidak pernah berlaku.
TEKANAN kepenggunaan Internet meningkat dalam kadar drastik dan ia disifatkan tidak pernah berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 7:00 AM