DATA nombor telefon pengguna Facebook tertiris di Internet.
DATA nombor telefon pengguna Facebook tertiris di Internet.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Pengguna laman sosial Facebook (FB) kini berdepan dengan ketirisan maklumat membabitkan nombor telefon bimbit mereka yang didaftarkan di laman sosial itu.

Ia berikutan pendedahan sebuah portal teknologi yang mendakwa, butiran nombor telefon pengguna FB disebarkan di sebuah laman web yang menjadi ‘deposit’ maklumat berkenaan.

Laporan itu juga menyatakan bahawa pangkalan data yang tidak terlindung itu memiliki 400 juta rekod membabitkan pengguna FB di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Vietnam.

Portal pertama yang mendedahkan kebocoran maklumat itu adalah TechCrunch dan ia dikatakan membabitkan ketirisan maklumat lebih 200 juta individu di seluruh dunia.

Pengkaji keselamatan United Kingdom, Elliott Murray berkata, data yang mengandungi nombor telefon pengguna laman sosial itu diambil daripada sebuah lagi pangkalan data sebelum ia disebarkan.

Beliau yang memiliki syarikat keselamatan siber berkata, sehingga kini, tidak jelas pihak mana sebenarnya yang memiliki pangkalan data itu tetapi Facebook mengesahkan data itu diambil daripada sistem pelayan yang menyimpannya.

“Pihak Facebook tidak mengatakan bagaimana kaedah data itu diambil daripada pelayan dan mengapa ia boleh didapati di dalam talian tanpa sebarang perlindungan keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan pakar, ketirisan maklumat itu mungkin berpunca daripada pihak ketiga yang melakukan salinan data sebelum menyebarkannya.

Facebook bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, laman sosial berkenaan pernah mengakui wujud masalah pepijat keselamatan sehingga membolehkan pengguna kanak-kanak menerusi aplikasi Facebook Messenger Kids berinteraksi dengan kumpulan orang asing.

Aplikasi berkenaan dicipta untuk melindungi pengguna laman sosial golongan itu menerusi sistem kebenaran kenalan yang dibenarkan penjaga mereka.

Bagaimanapun, pembinaan aplikasi itu menemui sisi berbeza apabila kanak-kanak boleh memasuki perbualan berkumpulan dengan orang asing walaupun pengguna berkenaan tidak mendapat kebenaran daripada penjaga kanak-kanak terbabit.

Keadaan itu menimbulkan keresahan ibu bapa apabila mereka mengemukakan beberapa aduan kepada Facebook supaya meneliti semula infrastruktur keselamatan aplikasi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 11:36 AM