PENGGODAM kini mensasarkan laman sosial sebagai 'hab serangan' untuk memperoleh data peribadi pengguna.
PENGGODAM kini mensasarkan laman sosial sebagai 'hab serangan' untuk memperoleh data peribadi pengguna.
Muhammad Saufi Hassan


WUJUD trend penggodam hari ini lebih mensasarkan kepada platform media sosial memandangkan ia dilihat 'sasaran mudah' untuk memperoleh data peribadi sebelum disebarkan kepada pihak ketiga.

Ia bertitik tolak kelakuan pengguna yang lebih gemar menyimpan data peribadi mereka di laman sosial termasuk maklumat sensitif seperti nombor telefon, alamat emel, alamat rumah serta profesion pekerjaan.

Serangan siber terhadap media sosial ini memberikan laluan mudah kepada penggodam untuk memiliki semua data berkenaan sebelum dijual secara pukal di 'dark web' ataupun pihak ketiga.

Platform media sosial terbesar, Facebook tidak terkecuali untuk menjadi mangsa kepada kes penggodaman ini dan ia mula dilaporkan sejak awal bulan lalu membabitkan sejumlah akaun pengguna.

Selain Facebook, antara yang paling terkesan adalah sebuah laman sosial khusus untuk profesion pekerjaan iaitu, Linkedln apabila lebih 500 juta data pengguna tertiris kepada pihak ketiga.

Perkara itu turut disahkan oleh Linkedln dan antara maklumat sensitif pengguna laman sosial itu seperti alamat emel, nombor telefon, maklumat pekerjaan, jantina dan beberapa lagi data sulit pengguna.

Data berkenaan dijual di sebuah forum 'dark web' oleh penggodam dengan nilai empat digit saja untuk dua juta data pengguna secara pukal dan ia dimuat naik menerusi forum berkenaan sebagai sampel pembuktian.

Kebocoran data oleh pengguna Linkedln itu berlaku selepas platform laman sosial terbesar, Facebook turut menjadi mangsa selepas 500 juta data penggunanya tertiris kepada pihak ketiga.

Berdasarkan maklumat, Linkedln mempunyai lebih 740 juta akaun pengguna dan kebocoran data yang berlaku membabitkan lebih dua per tiga pengguna platform berkenaan.

PENGGUNA media sosial lebih cenderung untuk menyimpan maklumat sensitif mereka di laman sosial sekali gus meningkatkan risiko ancaman.
PENGGUNA media sosial lebih cenderung untuk menyimpan maklumat sensitif mereka di laman sosial sekali gus meningkatkan risiko ancaman.

Pada masa sama, Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata, serangan siber pada hari ini lebih kompleks jika dibandingkan dengan beberapa tahun lalu.

Katanya, ancaman serangan siber berubah-ubah setiap hari dan oleh itu, langkah untuk mendepani ancaman berkenaan juga perlu lebih pragmatik mengikut kesesuaian masa dan teknologi.

"Pengguna hari ini memang gemar untuk menyimpan maklumat peribadi mereka di laman sosial dan menjadi amalan terbaik untuk mengehadkan maklumat berkenaan termasuk sering menukar kata laluan dalam sesuatu tempoh.

"Untuk mendepani ancaman serangan siber ini, ia agak sukar kerana setiap serangan itu berbeza-beza mengikut teknologi semasa dan ia adalah jenayah maya.

BEBERAPA laman sosial utama sudah melaporkan kebocoran data pengguna yang dijual secara pukal di dark web.
BEBERAPA laman sosial utama sudah melaporkan kebocoran data pengguna yang dijual secara pukal di dark web.

"Membanteras jenayah maya ini adalah jauh lebih sukar dengan jenayah fizikal jadi keupayaan sistem sokongan sama ada oleh pengelola laman sosial serta langkah tambahan pengguna sangat penting," katanya.

Beliau berkata, amalan terbaik adalah sentiasa memastikan ruang siber pengguna dalam keadaan selamat dengan memastikan semua elemen kerentanan serangan diatasi sebaik mungkin.

"Daripada sudut penyedia laman sosial pula, sudah pasti langkah pertama yang perlu diambil adalah sentiasa menguji sistem keselamatan dan menambah baik daripada semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 7:00 AM