REKAAN Huawei P30 Pro yang baik dan berciri premium.
REKAAN Huawei P30 Pro yang baik dan berciri premium.
Muhammad Saufi Hassan


TIDAK banyak telefon pintar di pasaran yang menawarkan kamera pada prestasi terbaik ketika merakam gambar dalam pencahayaan kurang kerana ia memerlukan lebih pendedahan cahaya kepada peranti berkenaan.

Untuk semua keperluan itu, anda mungkin boleh mencuba telefon pintar kelas mercu keluaran Huawei iaitu P30 Pro yang dilengkapi tiga lensa termasuk satu lensa periskop untuk merakam imej pada pembesaran digital sebanyak 50 kali.

Peranti ini dilancarkan bulan lalu dan berdasarkan laman web penilaian fotografi iaitu DXOMark, peranti berkenaan mendapat markah 112 dan menduduki tangga pertama untuk semua telefon pintar.

Secara asasnya, spesifikasi Huawei P30 Pro menggunakan pemproses Kirin 980 dan dipadankan dengan memori (RAM) 8GB bersama storan 256GB.

Kamera utama peranti ini menggunakan tiga lensa iaitu 40 megapixel (MP) + 20MP dan lensa periskop 8MP serta dilengkapi dengan 3D ToF.

OBJEK yang dirakam pada sudut dekat sehingga memperlihatkan butiran terperinci tanpa kabur.
OBJEK yang dirakam pada sudut dekat sehingga memperlihatkan butiran terperinci tanpa kabur.

Mungkin daripada aspek spesifikasi peranti, ia seakan-akan sama dengan telefon pintar lain namun yang membezakan adalah keupayaan kamera yang mampu melakukan pembesaran imej sehingga 50 kali ganda dan menghasilkan imej jelas.

Pengguna boleh mencuba keupayaan ‘zoom’ ultra ini hanya dengan menekan skrin kamera pada petunjuk 1X, 5X, 10X dan 50X. Ia adalah petunjuk pembesaran imej.

Bagi pembesaran imej 1X, ia akan merakam imej biasa manakala untuk 5X, 10X dan 50X adalah mod pembesaran imej. Penulis mencuba sendiri mod berkenaan dan hasilnya begitu menakjubkan.

Walaupun penulis berdiri kira-kira 300 hingga 400 meter daripada objek yang mempunyai tulisan, imej yang dibesarkan masih jelas merakam bentuk struktur dan tulisan pada struktur berkenaan.

IMEJ yang dirakam menghasilkan gambar dengan terperinci.
IMEJ yang dirakam menghasilkan gambar dengan terperinci.

Tidak hairanlah laman web penilai fotografi, DXOMark meletakkan markah tertinggi iaitu 112 kepada peranti P30 Pro kerana berkeupayaan untuk membesarkan imej sebanyak 50X tanpa merosakkan gambar yang terhasil.

Selain itu, pengguna mungkin boleh mencuba keupayaan mod Super Macro pada peranti ini yang membolehkan imej dirakam dalam jarak dekat tanpa kabur.

Ia menunjukkan kamera peranti ini begitu berkuasa dan mampu untuk menghasilkan imej yang baik dalam persekitaran pencahayaan kurang termasuk merakam gambar objek secara dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 12:12 PM