PENULEN air yang mendapatkan sambutan di Korea Selatan dan India.
PENULEN air yang mendapatkan sambutan di Korea Selatan dan India.
Ahmad Shahrul dan Nizam Muhammad

(Yang mengikuti lawatan ke kilang LG di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini)

MAHUKAN yang terbaik, nantikan penulen air terkini yang bakal berada di rumah anda tidak berapa lama lagi. Mengapa penulis mengatakannya terbaik? Bukan saja dikeluarkan oleh syarikat penyedia kelengkapan rumah terbaik, LG Electronics menggunakan teknologi terkini yang diyakini mampu memberikan kepuasan kepada pengguna.

Penulen air tanpa tangki LG PuriCare bakal menjadi pilihan pengguna yang mahu menikmati air minuman segar, bertapis dan menyihatkan. Ia dibuktikan berdasarkan keyakinan Ketua Perhubungan Awam Global LG Electronics, Kenneth Hong yang berkata, LG Electronics merekodkan jualan AS$54.4 bilion pada 2018.

Menurutnya, walaupun pasaran Malaysia tidak sebesar Korea Selatan dan India, dia yakin produk terkini itu mampu menjadi pilihan pengguna seterusnya menyaingi dominasi syarikat lain di Malaysia.

Beliau berkata, pengguna berpendapatan sederhana dan tinggi dijangka menggunakan produk ini walaupun menyedari ada syarikat lain yang turut menawarkan produk seperti itu.

“Penapis air tanpa tangki LG PuriCare contohnya, menjadi pilihan kira-kira 1.3 juta pengguna di Korea dan 1.2 juta di India. Permintaan tinggi produk itu di seluruh dunia juga dilihat menjadi plaftform kepada LG untuk melebarkan sayap ke pasaran Malaysia,” katanya kepada wartawan negara ini di Seoul, baru-baru ini.

Hong berkata, pemasaran penulen air ini akan dilakukan secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun di Malaysia, termasuk di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

SARA menunjukkan pembersih air yang bakal memasuki pasaran Malaysia.
SARA menunjukkan pembersih air yang bakal memasuki pasaran Malaysia.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran LG PuriCare (LG Electronics Malaysia), Sara Hoo berkata, penulen air berteknologi tinggi dilengkapi tiga tahap sistem tapisan menggunakan tiga jenis penapis bagi menyingkirkan zarah dan bakteria berbahaya dalam air.

“Ia juga dapat menapis logam berat, kimia organik, kuman, zarah halus dan bau untuk meningkatkan rasa dan kualiti air.

“Memandangkan ia tidak mempunyai tangki, penapis air tidak perlu sentiasa mendidihkan air dan ia dapat membantu menjimatkan penggunaan elektrik di rumah,” katanya.

Penampilan inovasi terkini LG iaitu Inverter Compressor dan Induction Heating System (IH), penapis air tanpa tangki ini berkeupayaan menyediakan pilihan air minuman pelbagai suhu iaitu air panas, sejuk atau suhu bilik.

Apa yang menarik, pengguna tidak perlu menunggu lama kerana penulen air ini mampu menapis dan memanaskan air dalam tempoh tiga saat dan kelebihan ini dilihat mampu menyaingi pesaing selain memberi kepuasan kepada pengguna.

Bukan itu, Hoo berkata, LG juga tidak mahu ketinggalan dalam menyediakan khidmat terbaik kepada pengguna yang membeli produk ini, apabila Total Service Care 1.2.3 LG, memberikan perkhidmatan penggantian tahunan paip dalaman, sanitasi dua hala oleh pensterilan UV dan servis setiap tiga bulan.

“Paip dalaman akan ditukar setiap tahun bagi memastikan air yang ditapis dijamin kebersihan dan kesegarannya.

“Malah, pengguna akan menikmati perkhidmatan servis penjagaan alat gantian secara percuma selama lima tahun,” katanya.

Lebih menarik, fungsi 180 darjah ‘turning rotating tap’ dilihat memudahkan pengguna menetapkan kuantiti air diperlukan dengan teknologi paparan sesentuh intuitif selain memeriksa status tapisan air melalui lampu indikasi.

Selain itu, penulen air, LG turut menawarkan pengguna di Malaysia pembersih udara berteknologi tinggi menggunakan sistem penapis putaran 360 darjah yang mampu menyingkirkan habuk, gas berbahaya dan bau.

Sistem ini dicipta khusus untuk menyingkirkan pelbagai habuk di persekitaran bagi memberikan udara yang segar dan bersih kepada pengguna.

Beliau berkata, pembersih ciptaan 360 darjah itu membolehkan pengguna menikmati udara yang sihat di persekitaran.

Menurutnya, pembersih udara yang dilengkapi pengimbas pintar (Smart Sensor) terkini itu mampu mengesan zarah kecil dalam lingkungan satu mikrometer.

Malah, katanya, pengimbas pintar itu menampilkan sistem pemeriksaan status terkini bagi memastikan penapis ini sentiasa berfungsi dengan baik mengikut tahap pencemaran sebenar di persekitaran.

“Bukan itu saja, Smart Display menggunakan enam cahaya berwarna bagi membolehkan pengguna menentukan kualiti udara secara sekali imbas.

“Oleh itu, pembersih udara ini menawarkan cara mudah untuk mengawasi tahap pencemaran dalaman dan mengawasi penapisan udara secara berterusan,” katanya.

Untuk memudahkan pengguna, produk pembersih udara mudah letak ini juga memudahkan pengawalan kualiti udara dalaman selain menggunakan telefon pintar untuk menutup atau menghidupkan peralatan itu.

Lebih mengujakan pembersih udara ini turut menyediakan status terkini dan menghantar isyarat bila penapis perlu ditukar.

“Apa yang penting, ciptaan terbaharu ini menjamin kehidupan yang selamat dan selesa. LG akan meneruskan usaha bagi membangunkan peralatan rumah terkini yang mampu melindungi kesihatan pengguna dan keluarga,” katanya.

Oleh itu, bagi melihat dan mendapatkan sendiri dua produk terkini LG ini, nantikan pelancaran produk ini di Malaysia esok dan rasai serta miliki sendiri produk terkini yang dijangka mendapat sambutan baik daripada pengguna di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 5:00 AM