NORAZATUL-Itri bersama model yang disolek. FOTO/AKMA BAKAR
NORAZATUL-Itri bersama model yang disolek. FOTO/AKMA BAKAR
Intan Mas Ayu Shahimi


PERTEMUAN pertama dengan wanita ini berlangsung di Studio Jalan Riong bulan lalu. Norazatul-Itri Ahmad Suhaimi datang dari Ipoh ditemani suami dan seorang model untuk merakam langkah solekan.

Senyuman wanita ini tidak pernah lekang di bibir. Tutur katanya lembut, gurauannya santun, bahkan dia tidak lokek berkongsi tip dan petua mendapatkan solekan bersesuaian dengan tema, majlis serta keperluan.

Selepas lebih dua jam bercerita mengenai dunia solekan, barulah tahu rupanya ibu kepada tiga anak ini mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang pembinaan dan penyelenggaraan.

Agak canggung rasanya apabila menggambarkan seorang wanita yang lemah lembut, bergaya dan bijak menggunakan berus wajah, mempelopori bidang yang dimonopoli lelaki.

Kata Norazatul-Itri, 36, dia sebenarnya berasal dari Ipoh dan mempunyai kelulusan dalam bidang multimedia interaktif. Sebelum membina perniagaan sendiri dan aktif menatarias, dia pernah bekerja sebagai pengurus bahagian di 7-Eleven Malaysia, cawangan Ipoh selama 10 tahun.

“Dari situlah kerjaya sebagai jurumekap bermula. Saya seronok setiap kali menatarias adik-beradik, saudara dan rakan. Pada awal 2014, saya nekad berundur dari dunia ‘makan gaji’ dan memilih menjalankan perniagaan sendiri.

Menurut Norazatul-Itri, dia memulakan kerjaya separuh masa dalam bidang solekan kerana minatnya yang mendalam pada kecantikan. Oleh itu, selepas tamat belajar, dia mula mengikuti kelas asas solekan.

“Saya ambil semua kelas mekap bermula dari asas hinggalah ke tahap lanjutan. Antara kelas mekap terawal yang saya hadiri adalah anjuran Erlina Rahmat (Erlina Touch Wedding) pada 2008.

“Tanpa saya sedar, rasa cinta kepada dunia solekan semakin bertambah. Saya kemudian memilih untuk mengembangkan bakat dalam solekan kerana percaya bidang ini mempunyai tarikan tersendiri dan bersifat seni.

“Bagi saya, seni tidak hanya untuk mekap cantik semata-mata, tetapi banyak lagi cabang kreatif yang menarik untuk diteroka. Saya teruja setiap kali mempelajari seni solekan kesan khas. Berbeza dengan solekan rutin, menyempurnakan mekap kesan khas lebih mencabar kreativiti,” katanya.

Kini selepas hampir lima tahun berhempas- pulas mengusahakan syarikat sendiri, Norazatul-Itri tetap sukar melepaskan minat dan rasa cinta kepada dunia solekan. Biarpun sibuk dengan pelbagai urusan membabitkan tender, projek pembinaan dan penyelenggaraan, wanita ini tetap memberi keutamaan kepada bidang solekan.

“Lazimnya, khidmat solekan ini dibuat berdasarkan tempahan pelanggan. Jika masa yang dijadualkan itu bertindih dengan komitmen kerja, saya akan minta pembantu untuk menggantikan tempat di mesyuarat, kerja lapangan dan sebagainya.

“Kalau diambil kira awal permulaan kerjaya dulu, memang agak sukar untuk saya uruskan semuanya. Saya harus fokus kepada keluarga, anak, tanggungjawab di rumah dan syarikat serta kerja solekan.

“Namun, saya tetap juga melalui semua ini kerana minat dan kemahuan yang tinggi. Saya tidak pernah menganggap kekangan, ujian dan masa sebagai satu masalah. Saya jadikan ia pembakar semangat untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan dan karier sebagai jurusolek,” katanya.

Adat berniaga, katanya, mustahil tiada ujian pahit yang terpaksa diterima ikhlas dengan hati terbuka. Selain kerugian dalam jumlah kecil, Norazatul-Itri pernah berdepan masa sukar apabila ditipu hingga menyebabkan kerugian hampir RM50,000.

“Alhamdulillah, suami banyak memberi sokongan dan dorongan tidak kira dalam bentuk semangat atau kewangan. Keluarga juga banyak membantu dari segi penjagaan anak-anak. Sebagai individu, saya jadikan pengalaman sebagai panduan untuk masa akan datang.

“Setakat ini, saya memang mahu fokus secara serius dalam bidang solekan. Ini sebahagian minat dan saya sudah bercadang untuk membuka studio solekan sendiri.

“Kalau orang tanya sejauh mana kedua-dua karier memberi kepuasan, saya anggap setiap satunya berbeza. Namun apa yang pasti, kedua-duanya memang memberi kepuasan dan makna buat dalam diri saya.

“Saya percaya, teladan yang baik boleh mempengaruhi kesetiaan pekerja. Saya mahu mereka juga mencuba cabang kreatif yang ada dalam diri. Jadi, saya selalu memberi semangat jika mereka mahu melakukan sesuatu, walaupun bukan untuk syarikat,” katanya.

Jelasnya lagi, untuk berjaya dalam bidang yang diceburi, setiap individu harus bersikap positif dan sentiasa memaafkan orang di sekeliling.

“Jangan ambil pusing pada perkara yang negatif, tetapi teruskan bersikap positif hingga berjaya. Bidang kecantikan ini sangat luas. Bagi yang ingin memulakan karier ini, mereka perlu berani dan sedia mencari ilmu. Usah hanya menuntut di alam maya, sebaiknya carilah mentor untuk membantu kita berjaya.

“Satu lagi, saya selalu ingatkan kepada diri bahawa jangan pandang untung saja. Setiap jurusolek perlu bertanggungjawab, mengutamakan kualiti, khususnya dalam memilih produk.

“Gunakan alat solek jenama asli kerana itulah imej kita sebagai jurusolek. Apabila pelanggan berkata mereka berpuas hati dengan hasil kerja saya, ia umpama satu untung besar yang membuat saya rasa gembira dan lebih bersemangat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 5:01 AM