INDAH diperagakan dengan busana tradisional.
INDAH diperagakan dengan busana tradisional.
Intan Mas Ayu Shahimi

Pada zaman serba canggih ini mungkin ramai yang tertanya-tanya, apa agaknya hendak dibuat dengan syiling lama. Pengumpul syiling, pastinya berbangga dengan koleksi yang ada dan dijaga

sempurna untuk warisan serta tontonan anak cucu pada masa depan.

Namun, bagi yang tidak pernah berpeluang mengenali syiling dan mata wang lama tempatan mahupun luar negara, Nusantara Touch menampilkan koleksi perhiasan unik seumpamanya.

Menariknya, setiap koleksi perhiasan ini disadur dengan emas, perak atau gangsa untuk memberi lebih pilihan, variasi warna dan menyerlahkan gaya pemakai.

Pemilik jenama, Nurraini Mohd Amin berkata, koleksi perhiasan diperbuat daripada logam timah itu meniru reka bentuk lebih 45 keping syiling lama termasuk mata wang asing dunia.

NURRAINI menunjukkan aksesori daripada syiling lama.
NURRAINI menunjukkan aksesori daripada syiling lama.

“Rekaan syiling yang dicetak semula ini diberi sentuhan gaya lebih ringkas dan moden supaya menepati trend terkini. Saiz dan bentuknya yang berbeza pula memberi lebih pilihan kepada pemakai. Ia juga mudah disuai padan dengan gaya pemakai, tidak kira sama ada kasual mahupun tradisional,” katanya.

Menurut Nurraini, dia sengaja memilih mata wang lama sebagai tema koleksi kali ini untuk menghidupkan kembali zaman kegemilangan Melayu lama yang terkenal dengan perhiasan bermotifkan syiling.

UNIK dan tampak mewah.
UNIK dan tampak mewah.

“Mata wang lama kini semakin dilupakan. Sedangkan kemajuan yang kita kecapi hari ini berlandaskan pada apa yang pernah ada di zaman dulu. Seperti tinggalan sejarah lain, syiling lama memang ada keunikannya yang tersendiri.

“Kalau dulu, rekaan barang kemas banyak yang bermotifkan emas paun atau dipanggil syiling emas. Cuma rekaan pada emas paun tidaklah sekemas duit syiling. Dari situlah bermulanya ilham untuk mencetak semula mata wang lama, terutama syiling Malaysia dan dijadikan aksesori seperti kerongsang, gelang, rantai, klip serba guna, butang baju Melayu dan cincin,” katanya.

Meneliti satu persatu koleksi wang syiling rekaan wanita ini, tampak hasil kreativiti halus dengan perincian kemas. Antara koleksi yang ada termasuk syiling RM1 memaparkan cetakan gambar bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, satu sen cetakan Ratu Elizabeth II, Queen Victoria, edisi khas Bank Negara Malaysia (BNM), dolar Singapura ($1), mata wang China dan banyak lagi yang sukar ditemui kini.

BUTANG baju kurung syiling lama tampak unik.
BUTANG baju kurung syiling lama tampak unik.

Semua contoh syiling itu kata Nurraini, diperoleh daripada bapa saudaranya. Sebagai permulaan, acuan dibentuk menyerupai duit asal dan digunakan untuk menghasilkan wang cetakan.

Jelas Nurraini, sebelum tampil dengan rekaan koleksi itu, dia turut merujuk pelbagai jenama perhiasan mewah dunia yang popular dengan koleksi hampir serupa dan mendapat tempat di hati pemakainya.

Malah, dia juga mendapatkan kebenaran untuk mencetak semua wang lama daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) khusus bagi menghasilkan barang kemas dan aksesori.

SEMPURNA untuk pelbagai gaya.
SEMPURNA untuk pelbagai gaya.

“Berdasarkan pengamatan, saya reka koleksi unik, bersesuaian budaya orang Timur dan menepati trend fesyen terkini. Tarikan utama koleksi ini adalah pada syiling itu sendiri. Jika sebelum ini kita mungkin tidak kenal atau tahu. Tapi selepas memiliki koleksi ini, tidak mustahil ia memberi ilmu dan pemahaman berserta cerita di sebalik asal usul wujudnya mata wang berkenaan.

“Setakat ini, tiada syiling yang kita cetak semula mempunyai tanda salib. Jadi, ia sesuai dipakai semua khususnya wanita Muslim. Perlu diketahui juga, selain logam timah, koleksi ini disadur dengan emas, perak dan gangsa.

“Mungkin ramai tidak sedar logam timah sebenarnya mempunyai harga dan nilai tersendiri. Jadi, jika perhiasan ini rosak, pemakai masih boleh menjualnya. Ia berbeza dengan perhiasan yang didatangkan dari China.

“Lebih daripada itu, logam timah juga wajar dibanggakan kerana Malaysia terkenal dengan kekayaan hasil bumi ini suatu masa dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 8:03 AM