KEBIASAANNYA bayi yang tersangkut bahu dapat dilahirkan dengan selamat.
KEBIASAANNYA bayi yang tersangkut bahu dapat dilahirkan dengan selamat.
Siti Nadirah Hafidzin

Bagi setiap wanita hamil, menanti detik kelahiran adalah saat paling mencemaskan. Mana tidaknya ia waktu si ibu bertarung nyawa demi memastikan cahaya mata yang ditunggu-tunggu lahir dengan selamat.

Biasanya ketika itulah mula terbayang pelbagai kemungkinan walaupun pemeriksaan berkala sepanjang kehamilan menunjukkan anda tidak mempunyai sebarang masalah. Namun, sebarang kemungkinan boleh berlaku pada saat-saat akhir atau ketika saat melahirkan.

Antara situasi yang mencemaskan ialah bayi tersangkut bahu ketika dilahirkan atau dalam istilah perubatan disebut ‘distosia bahu’.

Mengupas mengenai keadaan ini, Pegawai Perubatan, Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak berkata, kejadian itu berlaku apabila kepala bayi sudah keluar, tetapi sebelah bahunya tersangkut pada belakang tulang pubik ibu. Situasi ini akan menyebabkan proses kelahiran menjadi lebih panjang bagi mengeluarkan keseluruhan badan bayi.

“Sekiranya perkara ini terjadi, pertolongan tambahan segera perlu diberikan oleh pasukan perubatan untuk melepaskan bahu bayi yang tersangkut. Bagaimanapun jangan terlalu risau kerana dalam kebanyakan kes, bayi dapat dilahirkan dengan selamat,” katanya.

Dr Muhammad Izzat berkata, kekerapan terjadinya kejadian itu adalah satu daripada 150 kelahiran normal.

“Kejadian ini biasanya berlaku tanpa dijangka ketika proses kelahiran. Ia juga tidak menunjukkan sebarang tanda ketika kehamilan.

“Walaupun tidak dijangka, terdapat beberapa faktor yang memungkinkan kejadian itu berlaku ketika proses kelahiran,” ujarnya.

Menurutnya, kejadian bahu bayi tersangkut selalunya terjadi pada bayi yang bersaiz besar yang mencecah empat kilogram. Namun, banyak juga kes bayi besar dengan berat melebihi 4.5 kilogram dilahirkan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Faktor penyebab

Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan berlakunya masalah bahu bayi tersangkut ketika dilahirkan antaranya:

• Sejarah kelahiran terdahulu dengan masalah bahu bayi tersangkut

• Ibu mempunyai masalah kencing manis (diabetes)

• Indeks jisim tubuh (BMI) ibu lebih 30 kg/m2

• Kelahiran yang dipaksa

• Proses kelahiran mengambil jangka masa yang panjang

• Kelahiran yang dibantu

Menurut Dr Muhammad Izzat, dalam kebanyakan kes, kejadian bahu bayi tersangkut tidak boleh dicegah kerana ia sukar dijangka.

“Namun, sekiranya si ibu menghidap kencing manis ketika hamil, dia seharusnya diberikan pilihan untuk bersalin awal atau pilihan untuk bersalin secara pembedahan. Ini dapat mengurangkan risiko terjadinya bahu bayi tersangkut ketika bersalin,” katanya.

Menurutnya, sekiranya si ibu tidak menghidapi kencing manis, pilihan untuk bersalin awal tidak akan mengurangkan risiko terjadinya insiden ini walaupun bayi dijangka bersaiz besar.

“Malah pilihan untuk bersalin secara pembedahan juga tidak dicadangkan untuk ibu yang tiada masalah kencing manis,” ujarnya.

Dr Muhammad Izzat berkata, apabila berdepan dengan situasi itu, pasukan perubatan akan bersiap sedia kerana ia saat kecemasan yang perlu ditangani segera.

“Bahu bayi perlu dilepaskan segera supaya dia dapat dilahirkan dengan selamat dan bayi boleh bernafas secara normal.

“Kebiasaannya pasukan perubatan akan meminta tolong dan membunyikan loceng kecemasan supaya doktor atau pakar perubatan segera datang membantu,” katanya.

Jadi, amat penting untuk si ibu memperbanyakkan bacaan mengenai hal ehwal kelahiran. Ia akan memberi pengetahuan kepada si ibu untuk memahami dan bertenang jika berhadapan dengan situasi begini. Apa yang lebih penting ialah banyakkan berdoa supaya proses kelahiran berjalan dengan selamat.

Patuhi arahan doktor

Sekiranya keadaan ini berlaku, kebiasaannya doktor atau penyambut kelahiran akan meminta si ibu melakukan beberapa perkara iaitu:

• Meminta anda supaya berhenti meneran.

• Mengubah kedudukan dan posisi si ibu supaya lebih banyak ruang di dalam vagina

• Si ibu akan diminta berbaring dengan kedua-dua belah kaki ditolak ke luar dan ke atas, dekat dengan dada

• Sedikit tekanan akan diberikan pada bahagian atas ari-ari untuk membantu melepaskan bahu bayi yang tersangkut

• Episiotomi (menggunting sedikit vagina) akan dilakukan untuk membesarkan bukaan vagina sekiranya perlu melakukan kaedah lain untuk melepaskan bahu bayi

Dr Muhammad Izzat berkata, sekiranya bayi tetap tidak dapat dilahirkan, doktor perbidanan akan memasukkan tangannya ke dalam vagina untuk melepaskan bahu bayi itu.

“Si ibu mungkin akan dibantu untuk memusingkan badan ke posisi tertentu yang dapat melepaskan sangkutan bahu bayi. Ada yang bertanya apakah yang akan terjadi kepada si ibu dan bayi selepas bayi dapat dikeluarkan.

“Perkara ini akan memberi kesan kepada ibu dan bayi. Ibu mungkin mengalami kesan koyakan yang teruk semasa kelahiran sehingga ke lubang dubur. Tumpah darah selepas bersalin juga boleh berlaku dan kadangkala memerlukan pemindahan darah,” katanya.

Tambahnya, manakala untuk bayi, satu daripada 10 bayi yang mengalami bahu tersangkut ketika dilahirkan mengalami kecederaan pada saraf yang menyebabkan sebahagian anggota yang terbabit tidak boleh digerakkan.

“Jenis kecederaan yang biasa terjadi dinamakan ‘Erb’s Palsy’. Walaupun begitu, kecederaan ini hanyalah sementara dan pergerakan tangan yang terbabit akan kembali pulih dalam beberapa jam atau hari. Kecederaan kekal sangat jarang berlaku.

“Perlu diingatkan, kecederaan pada saraf bukan saja boleh berlaku pada kejadian seperti ini ketika bersalin normal. Ia juga boleh terjadi pada bayi yang dilahirkan secara pembedahan,” ujarnya.

Menurutnya, kadangkala, kejadian bayi bahu tersangkut boleh menyebabkan tulang bahu bayi patah namun dalam kebanyakan kes bayi akan sembuh seperti sedia kala selepas tempoh tertentu.

“Walaupun langkah berjaga-jaga diambil dan pertolongan kecemasan diberikan segera ketika kejadian ini, bayi mungkin mengalami masalah otak kerana kekurangan oksigen sampai ke otak,” katanya.

Tambahnya, sekiranya si ibu mengalami masalah itu, risiko untuk ia berulang adalah sangat tinggi.

“Satu daripada 10 wanita berkemungkinan mengalaminya sekali lagi dan atas sebab itu, doktor akan berbincang dengan anda dan pasangan bagi menerangkan cara terbaik untuk melahirkan anak yang berikutnya.

“Anda mungkin memilih untuk bersalin secara normal jika ketika bahu bayi senang dilepaskan dan bayi anda sihat serta bebas daripada komplikasi lain. Bagaimanapun, anda boleh memilih untuk bersalin secara pembedahan jika sebaliknya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 11:54 AM