PENDEDAHAN kepada teknologi.
PENDEDAHAN kepada teknologi.
Intan Mas Ayu Shahimi

Kanak-kanak zaman serba canggih kini lebih banyak berinteraksi dengan teknologi melalui telefon pintar, permainan digital dan menonton filem.

Biarpun banyak pendapat membicarakan sisi negatif keadaan ini, namun teknologi sebenarnya memberikan banyak kelebihan positif sekiranya digunakan dengan cara yang betul.

KidZania Kuala Lumpur kini menganjurkan program bertemakan teknologi, KidZ & Tech 3.0 bermula 18 Ogos lalu sehingga 16 September ini.

Program selama sebulan itu memberi peluang kepada kanak-kanak mengenali kegunaan dan manfaat kecerdasan buatan (AI) mahupun robotik serta fungsinya di masa depan.

Datuk Bandar KidZania Shahrul Nizar Ahmad berkata, dunia hari ini sedang melalui peralihan zaman teknologi dan mencipta pelbagai bidang kerjaya baru yang menjurus ke arah kecerdasan buatan serta robotik di masa akan datang.

“Sebagai bapa, saya pastinya mahu anak didedahkan dengan persediaan menghadapi dunia teknologi yang kian berkembang pesat kini. Malah jika diperhatikan, teknologi seperti pembantu maya, robot dan rumah pintar sudah wujud.

“Tentunya ada banyak lagi inovasi unik yang bakal mencuri tumpuan pada masa depan. Justeru, kami harap program ini memberi lebih gambaran dan inspirasi kepada peserta untuk terus meneroka dunia teknologi yang luas ini,” katanya.

Melalui KidZ & Tech 3.0, kanak-kanak diberi peluang untuk melalui Learn Life Today dan salah satu bidang yang pesat berkembang iaitu AI. Lebih menarik, Google Malaysia mengambil inisiatif memperkenalkan AI dengan cara yang menyeronokkan.

KESERONOKAN mencuba pelbagai program khusus yang disediakan.
KESERONOKAN mencuba pelbagai program khusus yang disediakan.

Kanak-kanak diberi peluang bermain sambil belajar melalui Emoji Scavenger Hunt yang boleh disertai seisi keluarga. Menggunakan rangkaian eksperimen AI untuk mengenal pasti objek sebenar, peserta diberi mesej menerusi telefon pintar dan perlu mencari emoji dikirim di persekitaran mereka. Pencarian hanya lengkap selepas peserta menangkap gambar sepadan dengan emoji diberikan.

Dalam pada itu, Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Google Malaysia Zeffri Yusof berkata, bidang kecerdasan pintar menjadi antara fokus utama yang diperkasa melalui pembelajaran mesin.

“Google memanfaatkan pembelajaran mesin untuk tugasan seperti pemahaman bahasa, penterjemahan, pengecaman pertuturan, penglihatan komputer, skala kedudukan dan pengesyoran.

“Kami berharap kanak-kanak ini lebih berminat untuk mempelajari secara mendalam mengenai dunia kecerdasan buatan,” katanya.

Selain mengesan emoji, terdapat banyak lagi cabaran menarik yang bukan saja menyeronokkan, tetapi membuka minda peserta terhadap kepelbagaian fungsi teknologi serta mencabar kreativiti.

Peserta boleh mencipta sendiri robot menggunakan Makeblock mBots menerusi langkah pengekodan mudah, menguji kemahiran pemanduan dalam Drone Obstacle Challenge dan mengendalikan Airblocks atau robot terbang daripada magnet yang boleh diprogramkan untuk melalui halangan di trek udara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 12:59 PM