MOHAMMAD Hakimy bersama isterinya, Bazlina menunjukkan antara koleksi bawal yang terdapat di butik mereka.
MOHAMMAD Hakimy bersama isterinya, Bazlina menunjukkan antara koleksi bawal yang terdapat di butik mereka.
Yusliza Yakmir Abd Talib

Tudung bawal satu ketika dulu cukup popular dalam kalangan wanita Muslimah di negara ini. Daripada penggunaan pelbagai jenis fabrik hinggalah hiasan manik, batu permata atau labuci, boleh dikatakan tudung bawal hingga hari ini seolah-olah tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Walaupun pemakaian tudung mencipta revolusinya tersendiri hingga ke hari ini dengan kemunculan pelbagai rekaan dan jenis, tudung bawal tetap mempunyai kelompok peminatnya tersendiri dan bagi mereka yang selesa dengan penggayaan tudung jenis ini, pastinya mereka tidak akan beralih arah.

Kesedaran tinggi Muslimah di negara ini dengan memilih untuk menutup aurat dan berfesyen menepati syariat mencetuskan idea buat pemilik butik tudung Bawal Valet untuk menawarkan tudung bawal yang direka khas bagi wanita yang mementingkan penampilan ringkas dengan gaya polos.

Pengasasnya, Mohammad Hakimy Abdullah berkata, koleksi tudung bawal butiknya memiliki ciri eksklusif terdiri daripada lebih 50 warna menarik, beralun cantik, mudah digayakan dan menjimatkan masa.

Katanya, tudung bawal mempunyai peminatnya tersendiri dan sehingga hari ini walaupun terdapat banyak produk tudung yang pelbagai jenis di pasaran, bagi mereka yang selesa dengan tudung bawal, mereka tidak akan beralih.

“Kami menyediakan pelbagai jenis fabrik bawal berkualiti, dihiasi batu permata dan Swarovski serta ditawarkan dengan harga berpatutan bermula pada RM39 hingga RM359.

“Walaupun terdapat pelbagai jenis hijab dan cara pemakaian yang berubah, tudung bawal malar hijau ini menjadi pilihan utama meskipun tudung ini pernah menjadi fenomena pada 1990-an, ia tetap relevan hingga kini dalam dunia hijab tempatan,” katanya.

Jelasnya, antara koleksi Bawal Valet yang menjadi pilihan utama ialah menggunakan fabrik oile Jepun, diikuti satin, chifon dan kain kapas yang ada ratusan warna.

“Kebanyakan pelanggan Bawal Valet adalah penduduk tempatan, Brunei dan Singapura yang membeli secara dalam talian dan berkunjung ke butik kami yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor,” katanya.

Tambahnya, melihat kepada potensi koleksi butik itu yang mendapat permintaan tinggi membuatkan mereka komited menghasilkan lebih banyak rekaan bawal yang diperincikan dengan pelbagai jenis batu bagi pasaran tempatan dan global.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 12:45 PM