ANTARA koleksi barang kemas yang dipamerkan.
ANTARA koleksi barang kemas yang dipamerkan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Bergemerlapan dan memukau mata. Itu perkataan paling tepat untuk meng­gambarkan kemeriahan dan kerancakan Pameran Barang Kemas Antarabangsa Malaysia - Edisi Musim Bunga (MIJF SE) 2018 yang berlangsung, baru-baru ini.

Pelbagai reka bentuk barang kemas daripada emas, platinum, perak, jed, mutiara dan batu permata seperti intan, berlian, nilam, delima, zamrud, batu firus, baiduri serta banyak lagi menonjolkan rasa kekaguman pengunjung yang hadir.

Bukan mudah menyaksikan barang kemas dan perhiasan dari serata dunia dalam satu masa, maka buat penggemar dan pengumpul barang kemas, pasti rambang mata dibuatnya.

Pameran MIJF SE 2018 anjuran Elite Expo Sdn Bhd yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menyaksikan penyertaan lebih 10 negara. Selain Malaysia, negara lain yang terbabit ialah Kemboja, Dubai, Hong Kong, India, Jepun, Itali, Singapura, Thailand, Belgium dan Myanmar.

Menerusi pameran itu juga, penganjur turut mengumpul 100,000 koleksi barang kemas yang paling mewah dan terbaik daripada lebih 100 jenama barang kemas yang berasal dari semua negara yang mengambil bahagian.

MIJF SE 2018 turut mendapat sokongan Lembaga Pelancongan Malaysia Promosi, Konvensyen Malaysia & Biro Pameran (MyCEB), Persatuan Hong Kong Jewellery & Jade Manufactures (HKJJA), persatuan luar negara yang ada reputasi dan disahkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

ANTARA koleksi barang kemas yang dipamerkan.
ANTARA koleksi barang kemas yang dipamerkan.

Sokongan yang berterusan daripada pelbagai pihak berjaya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai standard pemangkin perdagangan barang kemas global dan memberi bantuan dalam mempromosikan negara sebagai hab mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) yang terbaik di mata dunia.

Pameran itu juga sebagai pentas menyediakan peluang keemasan kepada pedagang serta pereka barang kemas seluruh dunia untuk berinteraksi dan bertukar pandangan mengenai maklumat terkini pasaran dan inovasi.

Selain, ia berperanan sebagai penggerak dan pemangkin kepada industri barang kemas agar terus berkembang dan meningkatkan daya saing secara menyeluruh dalam industri barang kemas.

Menerusi pameran itu, galeria barang kemas yang bertema ‘World Minerals Galleria’ turut dipersembahkan oleh AGL, pakar makmal gemologi di Malaysia.

Galeria itu mempamerkan foto barang kemas yang eksklusif dari Sri Lanka selain memperkenalkan proses perlombongan tradisional dan langkah dalam memproses batu asal barang kemas sehingga menjadi barang kemas yang cantik dan unik.

Pencinta barang kemas dan pengunjung yang hadir turut berpeluang menyertai beberapa siri aktiviti disediakan penganjur termasuk pemberian loket mutiara setiap hari sepanjang pameran berlangsung selain cabutan bertuah untuk dimenangi iaitu koleksi barang kemas bernilai melebihi RM10,000.

 MODEL menggayakan koleksi barang kemas dari seluruh dunia.
MODEL menggayakan koleksi barang kemas dari seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 8:45 AM