ANTARA watak kartun yang akan menemui pengunjung bersama  Nurul Nuzairi (empat dari kiri) dan Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran General Sunway Theme Parks, Angeline Pasqual (tiga dari kiri).
ANTARA watak kartun yang akan menemui pengunjung bersama Nurul Nuzairi (empat dari kiri) dan Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran General Sunway Theme Parks, Angeline Pasqual (tiga dari kiri).
Hajahfarhana Tarmudi


Cuti sekolah kini kembali. Pastinya menyeronokkan jika dapat meluangkan masa bersama seisi keluarga apatah lagi melakukan aktiviti yang mengujakan.

Sudah semestinya, kunjungan ke Lost World Of Tambun (LWOT) akan dipenuhi dengan rasa teruja bukan saja buat si kecil malah ibu bapa dengan kehadiran hero kegemaran yang selalu di tonton di televisyen.

Habiskan masa dengan keceriaan bersama watak Cartoon Network, The Powerpuff Girls dan Ben 10. Malah, pelbagai aktiviti menyeronokkan ditawarkan sepanjang musim cuti sekolah bermula 25 November hingga 1 Januari 2018.

Pengurus Besar LWOT Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, meluangkan masa dengan aktiviti luar bersama keluarga dan teman adalah waktu yang sangat berharga.

“Justeru, pilihlah waktu berkualiti untuk bersama orang tersayang. Melalui waktu istimewa ini, kami membawakan watak kartun yang digemari sepanjang masa bagi menceriakan pengunjung.

“Ini adalah tempat yang sangat sesuai untuk melupakan kesibukan di pejabat. Selain dapat melihat keseronokan insan tersayang, ia juga masa untuk kita berhubung dengan alam sekitar yang menyegarkan,” katanya.

Suasana Malayana Village turut diserikan dengan hiasan pokok Krismas setinggi 20 kaki manakala dekorasi epik, belon gergasi dan patung watak kartun itu turut mewarnai kawasan tepi sungai, Toon City.

Permainan menyeronokkan seperti Giant Jenga, Giant Snakes & Ladders, Giant Slingshot, Shuttle Smash, Wheel of Power dan Slow & Steady juga boleh dicuba.

Jangan bimbang jika terlepas sesi pertemuan bersama watak kartun popular itu kerana pengunjung berpeluang menemui mereka dan menari bersama pada tiga sesi seterusnya.

Layanan istimewa itu turut dilengkapi dengan bertih jagung dan gula-gula kapas berinspirasikan watak kartun berkenaan selain mendapatkan cenderahati seperti permainan, pakaian dan sebagainya untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

Sementara itu, pada majlis pelancaran kempen berkenaan, LWOT memberikan 1,000 tiket Lost World POW Holidays yang boleh ditebus sepanjang kempen berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 12:18 PM