RAFIZAH
RAFIZAH
ANTARA aktiviti Kembari Cintami bersama masyarakat Orang Asli sekitar Perak.
ANTARA aktiviti Kembari Cintami bersama masyarakat Orang Asli sekitar Perak.
ANTARA aktiviti Kembari Cintami bersama masyarakat Orang Asli sekitar Perak.
ANTARA aktiviti Kembari Cintami bersama masyarakat Orang Asli sekitar Perak.
ANTARA aktiviti Kembari Cintami bersama masyarakat Orang Asli sekitar Perak.
ANTARA aktiviti Kembari Cintami bersama masyarakat Orang Asli sekitar Perak.
Intan Mas Ayu Shahimi


Zaman ini, kebanyakan kita begitu sibuk memenuhi rutin kerja, tanggungjawab dan komitmen semasa. Program kebajikan umpama terserah sepenuhnya ke bahu badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan agensi berkaitan. Tidak ramai individu yang sanggup turun padang menyelami kesusahan hidup orang lain.

Kalau ada pun, kebanyakan mereka melakukannya atas dasar tugas dan tanggungjawab pada kerja. Paling tidak, mereka mengambil jalan tengah, menghulur wang kepada pihak tertentu untuk menguruskan keperluan kepada pihak yang ingin dibantu.

Andai persoalan ini dibawa ke tengah, sudah pasti ramai yang berpendapat membantu tidak semestinya memerlukan seseorang itu turun padang. Usah hairan jika ada yang akan membalas sinis, mengatakan pihak yang menerima wajar berterima kasih (dengan bantuan). Dalam situasi sebegini, ramai dilihat masih dangkal mengenai sifat kemanusiaan. Ia sepatutnya mekar dalam diri setiap individu untuk mengingatkan tanggungjawab tidak kira orang kaya mahupun miskin terhadap satu sama lain.

Beruntunglah masyarakat Orang Asli di sekitar Perak apabila masih mendapat perhatian dan tunjuk ajar ikhlas daripada Rafizah Hashim, 50. Pemilik Cintami Beauty & Spa di TTDI Jaya, Shah Alam ini begitu teruja setiap kali bercerita mengenai program Kembara Cintami yang dimulakan sejak 2012.

Walaupun bergerak secara perseorangan dengan dibantu kakitangan spa, wanita ini tidak pernah rasa terbeban, sebaliknya begitu seronok mengunjungi satu demi satu perkampungan Orang Asli di negeri kelahirannya untuk mengajar mereka memberus gigi, mandi, bersyampu dan merapikan diri.

Menurut ibu tiga anak ini, dia begitu terkesan dengan teguran seorang ustaz ketika berkunjung ke satu perkampungan Orang Asli sebelum ini. Walaupun kerja amal di setiap lokasi dilakukan atas inisiatif sendiri, ada masanya wanita ini tidak melepaskan peluang mengikuti banyak program anjuran agensi lain.

“Saya pernah terlepas kata kepada seorang ustaz. Saya menyebut kepadanya, kalaulah saya kaya, saya akan bantu semuanya (orang yang memerlukan). Namun beliau membalas dengan tegas. Saya dikatakan tidak reda dengan ketentuan Allah SWT kerana mahu menunggu kaya dulu sebelum membantu orang. Sedangkan kata beliau, jika saya diberi kekayaan, belum tentu harta itu dicurah ke jalan ini.

“Dari situ, saya nekad memperluaskan Kembara Cintami. Alhamdulillah, rezeki saya juga berganda dan Allah SWT mempermudahkan banyak urusan saya tidak kira dalam keluarga, perniagaan dan kerja amal yang saya lakukan sekarang. Betapa kuatnya impak sedekah yang saya dapat lihat dan kerana itu jugalah saya semakin seronok merangka pelbagai aktiviti untuk golongan memerlukan,” katanya.

Berkongsi ilmu

Menyentuh pembabitan awalnya dalam bidang kecantikan, Rafizah berkata, semuanya bermula dengan minat. Sebagai anak kampung, wanita ini tidak pernah jemu bereksperimen dengan herba dan bahan alami untuk merawat masalah wajah serta tubuh.

“Minat itu bercambah sehingga dewasa dan akhirnya saya berpeluang mempunyai spa kecantikan sendiri. Dari situ, saya berkerja keras mendapatkan pulangan membanggakan.

“Masuk tahun ketiga, kewangan syarikat kian stabil dan saya terpanggil membuat kerja kebajikan. Saya memilih nama Kembara Cintami dan mengajak dua kakitangan spa untuk turut serta mengunjungi perkampungan Orang Asli pertama iaitu Pos Bersih di Kampung Ulu Slim,” katanya.

Jelas Rafizah, kunjungan pertamanya bukan saja gagal membawa sebarang pulangan, malah dia langsung tidak dilayan masyarakat Orang Asli di sana.

“Saya tidak tahu langsung mengenai kehidupan sebenar masyarakat Orang Asli, bagaimana mereka menilai kunjungan orang luar dan sejauh mana keterbukaan kaum pribumi ini menerima perubahan. Jadi, kali pertama masuk (ke kawasan perkampungan), memang setakat menjenguk saja.

“Kali kedua masuk, saya dapat berjumpa dengan tok batin dan memberitahu rancangan mengadakan program di situ. Selepas kunjungan kali ketiga barulah usaha saya berhasil. Itu pun dengan bantuan dan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Rupa-rupanya, kalau hendak masuk ke sini, kita tidak boleh melaram atau mengenakan pakaian yang cantik-cantik. Mereka akan lari. Kita juga tidak boleh rasa tinggi diri sebab mereka sangat merendah diri. Apabila mereka lihat saya bersama kakitangan JAKOA, barulah nampak mesra sedikit. Saya juga gembira apabila program yang kita bawa mendapat sambutan. Lebih 50 penduduk hadir ke kantin sekolah dan mendengar penjelasan kami.

“Saya dan kru mengagihkan peralatan dan mengajar mereka menggosok gigi. Kemudian, kita bawa pula ke sungai, mengajar mereka mandi, bersyampu dan memakai ubat kutu. Alhamdulillah, mereka begitu seronok apabila diberi layanan begitu,” katanya tersenyum.

Bagi Rafizah, dia memilih berkongsi ilmu penjagaan diri dengan wanita Orang Asli kerana berasakan ia adalah perkara paling asas yang wajar dititikberatkan, khususnya dalam kalangan masyarakat yang sudah memeluk Islam.

“Kebiasaannya Orang Asli ini mandi hanya untuk menghilangkan panas badan. Namun, apabila kita bawa alat kelengkapan peribadi seperti sabun, syampu dan ubat gigi, mereka cukup seronok. Pada mereka, semua kelengkapan itu sukar diperoleh dan mahal. Sehinggakan saya sendiri sebak apabila pemberian sekecil itu amat dihargai,” katanya.

Melihat kepada perkembangan dan sambutan baik masyarakat setempat setiap kali menjalankan program, Rafizah mengambil keputusan berjumpa dengan wakil JAKOA dan memaklumkan hasrat melebarkan program kembara ke perkampungan Orang Asli lain di sekitar Perak.

“Syukur pada Allah kerana hasrat dan keinginan saya dipermudahkan. Kini, selepas lima tahun menjalankan program, Kembara Cintami juga semakin dikenali. Sesekali, apabila ada agensi kerajaan atau NGO turun ke perkampungan Orang Asli, mereka akan menjemput saya dan kru bersama untuk membuat rawatan wajah dan sebagainya.

“Tiga tahun jugalah saya mengikut JAKOA ke kampung sekitar Perak. Selebihnya saya masuk sendiri dengan kebenaran mereka. Ada juga ketikanya saya masuk bersama Jabatan Agama Islam Perak untuk program pengislaman Orang Asli dan kursus nikah. Terbaru saya bersama kru mengunjungi masyarakat Orang Asli di Pos Musuh, Jalan Pahang.

“Biasanya memang kami masuk untuk mengajar mereka mengenai kaedah menjaga kebersihan dan penjagaan diri, tetapi sekarang saya juga selitkan aktiviti senamrobik dan mula memberi mereka penjelasan mengenai pentingnya penjagaan kesihatan. Ada waktunya kita buat program sehari, tetapi ada juga yang menjangkau ke dua hari.

“Semua peralatan kami sediakan sendiri menggunakan peruntukan kewangan spa. Jika mengikut program JAKOA, merekalah yang akan menyediakan makan dan minum untuk semua, tetapi kalau bergerak sendiri, saya akan sedia semua mengikut kemampuan,” katanya.

Jalan dakwah

Tidak kira apa pun pendapat orang sekeliling, Rafizah tetap mahu terus berbakti kepada Orang Asli. Malah, semua kakitangannya yang kini ada lima orang dididik mengajar dan mengendalikan program Kembara Cintami.

“Saya sentiasa percaya jalan dakwah itu berbeza-beza. Mengajar mereka menjaga kebersihan diri juga sebahagian daripada kerja dakwah. Kadang-kadang, sambil saya memotong kuku mereka, saya akan bertanya sama ada Islam atau tidak. Tidak kira apa juga kepercayaan mereka, saya akan beritahu kebersihan diri itu penting. Bagi yang Islam, saya tegaskan kepada mereka mengapa perlunya menjaga kebersihan diri dan kaitannya dengan iman seseorang.

“Bayangkan, mereka ini kurang didikan agama dan tinggal bercampur Islam dan bukan Islam dalam sebuah rumah. Jadi, saya fikir, jika bukan saya bersama kru Cintami yang berkongsi tanggungjawab membantu mengajar mereka cara mandi dan membersihkan hadas, siapa lagi?

“Kami boleh serahkan kepada Jabatan Agama dan agensi berkaitan, tetapi menyedarkan dan mengubah rutin kehidupan Orang Asli bukanlah tanggungjawab mudah. Mereka ini dipengaruhi kuat oleh adat dan tradisi nenek moyang. Kalau hari ini kita ajar menggosok gigi, belum tentu ia menjadi rutin harian. Inikan pula kewajipan mandi hadas dan sebagainya. Sebab itu saya katakan ini adalah jalan dakwah, tetapi dari sudut berbeza,” katanya.

Dalam kesibukan mengendalikan spa dan melakukan kerja amal, Rafizah tidak lari daripada ujian besar dalam hidupnya. Tahun lalu, wanita ini terduduk seketika apabila disahkan mempunyai ketumbuhan dalam otak.

“Apabila tahu saja, saya bagaikan hilang arah. Sebulan juga saya bersedih dan memikirkan banyak kemungkinan negatif. Namun, dalam kekusutan itu, doktor mengesahkan ia bukan kanser. Ibarat mendapat kembali ruang bernafas, saya bangkit dengan sokongan keluarga dan kru Kembara Cintami. Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu langsung memandang ke belakang.

“Saya semakin aktif melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, merentas sungai dan meneruskan projek kembara ke perkampungan Orang Asli. Tidak cukup dengan itu, saya juga buat program Dapur ke Dapur Cintami. Kami membeli barang kelengkapan dapur dan memasak di rumah orang tua atau golongan miskin dan menjamu mereka dengan hidangan enak. Kemudian, kami bawa juga perkhidmatan spa ke rumah kebajikan, menyuap makan, menggunting rambut serta melayan kehendak mereka. Apa saja yang terlintas difikiran, saya dan kru akan merencana aktiviti dan buat.

“Saya cukup berbangga apabila kakitangan spa turut mempunyai minat dalam bidang kebajikan. Kalau dulu ada juga yang berkeluh-kesah kerana tidak biasa, tapi kini mereka yang lebih beria-ia. Sebelum masuk ke kampung Orang Asli, mereka sudah memborong coklat dan buah tangan untuk kanak-kanak di sana.

“Betapa luasnya rahmat dan rezeki yang Allah SWT beri untuk kami sehinggakan ada saja peruntukan untuk kami bergerak ke mana-mana menjalankan aktiviti kebajikan. Bagi diri saya, kepuasan menjalankan kerja sebegini sukar hendak digambarkan. Pendek kata, sedekah itu sebenarnya sumber kekayaan. Kita takkan jatuh miskin dengan hanya memberi kepada yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 3:33 PM