MEDAN magnet yang dicipta pengimbas Iseult. FOTO AFP
MEDAN magnet yang dicipta pengimbas Iseult. FOTO AFP
AFP

Paris: Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) paling berkuasa di dunia, Iseult menyampaikan imej pertama otak manusia, mencapai tahap ketepatan baharu yang diharapkan memberi lebih banyak pencerahan kepada misteri minda dan penyakit mereka.

Penyelidik di Suruhanjaya Tenaga Atom Perancis (CEA) mula menggunakan mesin itu untuk mengimbas labu pada tahun 2021.

Namun, pihak berkuasa kesihatan, baru-baru ini, memberi mereka lampu hijau untuk mengimbas manusia.

Sejak beberapa bulan lalu, kira-kira 20 sukarelawan sihat menjadi yang pertama memasuki mesin MRI, yang terletak di kawasan Plateau de Saclay di selatan Paris, lokasi kepada banyak syarikat teknologi dan universiti.

Seorang ahli fizik yang bekerja dalam projek itu, Alexandre Vignaud membuat perbandingan antara imej yang diambil pengimbas ini yang digelar Iseult ini dengan imej dari MRI biasa.

"Dengan mesin ini, kita dapat melihat saluran kecil yang memberi makan kepada korteks serebrum atau butiran serebelum yang hampir tidak kelihatan sehingga kini.

"Kami melihat tahap ketepatan CEA yang tidak pernah dicapai sebelum ini," katanya.

Pengarah saintifik projek itu, Nicolas Boulant berkata, dengan memanfaatkan kuasa 11.7 tesla, ia akan membantu Iseult memahami dengan lebih baik hubungan antara struktur otak dan fungsi kognitif.

"Contohnya, apabila kita membaca buku atau menjalankan pengiraan mental," katanya.

Penyelidik CEA, Anne-Isabelle Etienvre berharap, kuasa pengimbas juga dapat menjelaskan mekanisme sukar difahami di sebalik penyakit neurodegeneratif seperti Parkinson atau Alzheimer atau keadaan psikologi seperti kemurungan atau skizofrenia.

"Sebagai contoh, kita tahu kawasan tertentu otak, hipokampus terbabit dalam penyakit Alzheimer, jadi kita berharap dapat mengetahui cara sel berfungsi di bahagian korteks serebrum ini.

"Jika kita lebih memahami penyakit yang sangat berbahaya ini, kita sepatutnya dapat mendiagnosisnya lebih awal dan merawatnya dengan lebih baik," katanya.

Medan magnet yang dicipta pengimbas ialah 11.7 tesla, satu unit ukuran yang dinamakan sempena pencipta Nikola Tesla.

Kuasa ini membolehkan mesin mengimbas imej dengan ketepatan 10 kali ganda daripada MRI biasa digunakan di hospital yang kuasanya biasanya tidak melebihi tiga tesla.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 1:55 PM