HELSINKI. FOTO AFP
HELSINKI. FOTO AFP
AFP

Helsinki: Finland kekal sebagai negara paling bahagia di dunia untuk tahun ketujuh berturut-turut dalam Laporan Kebahagiaan Dunia tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan hari ini.

Sementara itu, negara-negara di rantau Nordic mengekalkan kedudukan antara 10 negara paling bahagia, dengan Denmark, Iceland dan Sweden, di belakang Finland.

Afghanistan, yang dilanda bencana kemanusiaan sejak Taliban menguasai semula negara itu pada 2020, berada di kedudukan terbawah bagi 143 negara dalam kajian.

Buat pertama kali sejak laporan itu diterbitkan lebih sedekad lalu, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman tidak tersenarai dalam kelompok 20 negara paling bahagia apabila masing-masing berada di tempat ke-23 dan ke-24.

Sebaliknya, Costa Rica dan Kuwait memasuki senarai 20 teratas, masing-masing pada kedudukan 12 dan 13.

Laporan itu menyatakan negara terbesar di dunia tidak berada dalam kelompok teratas.

"Dalam 10 negara teratas, hanya Belanda dan Australia mempunyai populasi lebih 15 juta. Dalam keseluruhan 20 teratas, hanya Kanada dan United Kingdom (UK) mempunyai populasi lebih 30 juta.

Kemerosotan paling ketara dalam kebahagiaan sejak 2006 hingga 2010 10 dicatatkan di Afghanistan, Lubnan dan Jordan, manakala negara Eropah Timur iaitu Serbia, Bulgaria dan Latvia melaporkan peningkatan terbesar.

Kedudukan kebahagiaan adalah berdasarkan penilaian diri individu terhadap kepuasan hidup, jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sokongan sosial, jangka hayat yang sihat, kebebasan, kemurahan hati dan rasuah.

Penyelidik kebahagiaan di Universiti Helsinki di Finland, Jennifer De Paola memberitahu AFP bahawa hubungan rapat orang Finland dengan alam semula jadi dan keseimbangan kerja-kehidupan yang sihat adalah penyumbang utama kepada kepuasan hidup mereka.

Di samping itu, rakyat Finland mungkin mempunyai pemahaman mengenai apa itu kehidupan yang berjaya berbanding penduduk di AS yang mengukur kejayaan bersandarkan keuntungan kewangan.

Kebajikan Finland yang kukuh, kepercayaan kepada pihak berkuasa negeri, tahap rasuah yang rendah, penjagaan kesihatan dan pendidikan percuma juga penting.

"Masyarakat Finland diserap oleh rasa amanah, kebebasan, dan tahap autonomi yang tinggi," kata De Paola.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 9:53 AM