LUKISAN Das Marchen vom Froschkonig (The Tale of the Frog Prince). FOTO Agensi
LUKISAN Das Marchen vom Froschkonig (The Tale of the Frog Prince). FOTO Agensi
Agensi

Berlin: Kakitangan sebuah muzium di Jerman, menukar lukisan asli dengan yang palsu, sebelum menjual karya asal itu untuk menampung gaya hidup mewahnya, termasuk bagi membeli jam tangan mahal, menurut mahkamah Munich.

CNN melaporkan, akibatnya, lelaki berusia 30 tahun itu turut disabitkan kesalahan mencuri tiga karya seni lain.

Dia terlepas hukuman penjara yang ditangguhkan selama 21 bulan dan diarah membayar balik muzium itu, lebih daripada 60,600 euro (kira-kira RM299,804).

Dalam kenyataan akhbar baru-baru ini, Mahkamah Daerah Munich berkata, hukuman itu dikenakan mengambil kira status lelaki itu yang sudah mengaku salah.

Selain itu, tertuduh menunjukkan penyesalan atas perbuatannya.

"Dia berkata bertindak tanpa berfikir. Dia tidak lagi dapat menjelaskan kelakuannya," kata hakim ketika membacakan keputusan mahkamah

Lelaki itu bekerja dalam pengurusan koleksi di Muzium Deutsches di Munich, dari Mei 2016 hingga April 2018.

Ketika itu, dia mencuri lukisan Das Marchen vom Froschkonig (The Tale of the Frog Prince) oleh Franz von Stuck. Dia menggantikan hasil seni itu dengan yang palsu dan menjual karya asli.

Dia berbohong kepada sebuah rumah lelongan di Munich dengan mengatakan lukisan itu pernah menjadi milik datuk dan neneknya. Ia kemudian dijual kepada galeri di Switzerland dengan harga 70,000 euro (kira-kira RM346,308).

Lelaki itu menerima hampir 50,000 euro (kira-kira RM247,363) secara tunai, jumlah selepas ditolak dengan yuran dan kos untuk lelongan.

Dia juga mencuri tiga lukisan lain dari kemudahan penyimpanan muzium, dan berjaya menjual dua daripadanya. Satu daripada karya itu dijual melalui lelongan dan satu lagi dibeli terus oleh rumah lelongan. Ia menyebabkan lelaki itu menerima 11,490 euro (kira-kira RM56,835).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 2:00 PM