ORANG ramai mengibarkan bendera Palestin ketika menyertai demonstrasi di Washington, AS, bagi mendesak gencatan di Gaza. FOTO Reuters
ORANG ramai mengibarkan bendera Palestin ketika menyertai demonstrasi di Washington, AS, bagi mendesak gencatan di Gaza. FOTO Reuters
AFP

Paris: Amerika Syarikat (AS), Mesir, Qatar dan Israel berada di ibu negara Perancis, semalam, bagi rundingan gencatan senjata di Gaza, Palestin.

Menurut sumber, rundingan itu dihadiri ketua Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) serta pegawai tertinggi tiga negara terbabit.

Katanya, pihak berkuasa Perancis juga berhubung dengan empat negara terbabit bagi berunding untuk menghentikan permusuhan antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas di wilayah itu.

Memetik seorang pegawai AS, perunding merangka draf perjanjian yang akan dibincangkan di Paris.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, perbincangan di Paris dihadiri ketua agensi perisikan Mossad dan agensi keselamatan Shin Bet itu, berlangsung dengan baik.

"Tetapi masih terdapat jurang ketara yang akan terus dibincangkan pihak berkaitan minggu ini dalam mesyuarat tambahan," katanya.

Jumaat lalu, sumber keselamatan memberitahu AFP, Ketua CIA William Burns akan bertemu rakan sejawatannya dari Israel dan Mesir, serta perdana menteri Qatar dalam beberapa hari akan datang.

Sumber itu mengesahkan laporan The Washington Post minggu lalu bahawa Presiden AS Joe Biden menghantar Burns dalam usaha merundingkan pembebasan baki tebusan Israel yang dikuasai Hamas sebagai pertukaran untuk gencatan senjata.

Sabtu lalu, The New York Times berkata, perunding diketuai AS semakin hampir dengan perjanjian apabila Israel akan menangguhkan perangnya di Gaza, selama kira-kira dua bulan, sebagai balasan untuk membebaskan lebih 100 tahanan.

Qatar memainkan peranan penting dalam rundingan terbaharu selepas menjadi orang tengah perjanjian pembebasan tahanan pada November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 11:24 AM