MATTAN (gambar) dihukum gantung pada September 1952 selepas disabitkan bersalah membunuh Lily Volpert.  FOTO Agensi
MATTAN (gambar) dihukum gantung pada September 1952 selepas disabitkan bersalah membunuh Lily Volpert. FOTO Agensi
Agensi

London: Keluarga seorang lelaki yang disabitkan secara salah atas kesalahan membunuh diberikan permohonan maaf polis atas 'penderitaan yang dahsyat' disebabkan kegagalan keadilan 70 tahun lalu selepas dia dihukum mati di penjara Britain.

Mahmood Mattan, seorang bapa warga British-Somalia kepada tiga anak dihukum gantung ketika usia 28 tahun pada September 1952 selepas disabitkan bersalah membunuh Lily Volpert di kedai pakaian di Cardiff.

Guardian melaporkan, Mattan mengaku tidak bersalah hingga akhir hayatnya.

Bagaimanapun, pada 1998 selepas kempen tanpa jemu memperjuangkan kematian Mattan oleh keluarganya, sabitan kesalahan lelaki itu menjadi rujukan Suruhanjaya Semakan Kes Jenayah pertama yang dibatalkan di mahkamah rayuan.

Ketua Konstabel Polis South Wales Jeremy Vaughan berkata, ia adalah kes pada zaman ketika isu perkauman, sikap berat sebelah dan prejudis berleluasa di seluruh masyarakat termasuk sistem keadilan jenayah.

"Tidak syak lagi Mahmood Mattan adalah mangsa kegagalan keadilan akibat daripada pendakwaan berat sebelah yang mana polis juga menjadi sebahagian daripadanya.

"Detektif dari polis bandar Cardiff, kini sebahagian daripada polis South Wales, menyiasat pembunuhan Volpert berusia 41 tahun yang lehernya dikelar di sebuah kedai pada Mac 1952," katanya.

Katanya, adalah betul dan wajar permohonan maaf dibuat bagi pihak polis atas apa yang berlaku 70 tahun lalu dan mengurangkan penderitaan dahsyat keluarga Mattan dan semua yang terjejas oleh tragedi ini selama bertahun-tahun.

"Malah sehingga hari ini, kami masih bekerja keras untuk memastikan perkauman dan prejudis dihapuskan daripada masyarakat dan kepolisan," katanya.

Isteri Mattan, Laura dan tiga anak lelaki mereka David, Omar dan Mervyn berkempen selama 46 tahun untuk namanya dibersihkan tetapi semuanya sudah meninggal dunia.

Tanya Mattan, cucu kepada Mattan memberitahu BBC, "permohonan maaf itu terlalu lambat untuk orang yang terjejas secara langsung kerana mereka tidak lagi bersama kami dan kami masih belum mendengar kata-kata saya atau kami minta maaf."

Mattan, bekas pelaut yang berasal dari Hargeisa yang pada masa itu dikenali sebagai British Somaliland, ditangkap dalam beberapa jam selepas pembunuhan Volpert.

Dia didakwa dan disabitkan kesalahan oleh juri berkulit putih dalam perbicaraan tiga hari di Swansea.

Ini berlaku walaupun tiada bukti forensik dan Mattan mempunyai alibinya disokong oleh saksi.

Pada 2001, keluarga Mattan menerima pampasan daripada Pejabat Dalam Negeri tetapi tidak menerima permohonan maaf daripada polis sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 3:00 PM