Pedro Sanchez menyeru pekerja di sektor awam dan swasta untuk berhenti memakai tali leher. FOTO AGENSI
Pedro Sanchez menyeru pekerja di sektor awam dan swasta untuk berhenti memakai tali leher. FOTO AGENSI
Agensi

Madrid: Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menyeru pekerja di sektor awam dan swasta untuk berhenti memakai tali leher, sebagai langkah penjimatan tenaga ketika gelombang haba melanda negara itu.

BBC News melaporkan, Sanchez berkata, kerajaannya akan menerima pakai langkah penjimatan tenaga segera pada Isnin ketika negara-negara Eropah berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak dari Rusia, susulan perang di Ukraine.

Pada Jumaat, suhu mencecah 36 darjah Celsius di Madrid dan 39 darjah Celsius di Seville. Sejak beberapa minggu lalu, Eropah mengalami suhu tinggi.

Pada sidang akhbar di Madrid, Sanchez menegaskan beliau tidak memakai tali leher dan berkata, beliau mahu menterinya, pegawai awam dan pekerja di sektor swasta melakukan perkara sama.

"Ini bermakna kita semua boleh menjimatkan tenaga," tambahnya.

Perdana Menteri berkata, langkah itu akan memastikan orang ramai kekal sejuk dan oleh itu mengurangkan kos tenaga kerana penghawa dingin akan digunakan lebih jarang.

Sepanyol bukanlah yang pertama mengambil langkah ini.

Pada 2011, Jepun memperkenalkan kempen 'Super Cool Biz'nya, yang menggalakkan pekerja pejabat memakai pakaian yang lebih ipis pada musim panas.

Semasa suhu panas terik di United Kingdom baru-baru ini, ahli politik diberitahu mereka boleh tidak memakai sut semasa berada di Parlimen.

Kerajaan dipimpin Sanchez sedang mengusahakan dekri penjimatan tenaga, yang dijangka diluluskan Isnin. Ia termasuk langkah untuk menggalakkan premis perniagaan menutup pintu untuk mengelakkan udara sejuk daripada penggunaan penghawa dingin ke luar bangunan.

Peraturan serupa diperkenalkan di Perancis awal minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 7:01 AM