Orang ramai bersiar di New York ketika Amerika Syarikat dilanda Polar Vortex. FOTO AFP
Orang ramai bersiar di New York ketika Amerika Syarikat dilanda Polar Vortex. FOTO AFP
BERNAMA

TANGAN membeku dan sakit. Itu pengalaman penuntut Malaysia di Iowa State University, Amerika Syarikat berhadapan suhu bawah sifar ketika negara itu dilanda cuaca dingin melampau akibat Polar Vortex.

Wan Abdul Rahman Wan Azhar, 21, penuntut Ijazah Pengurusan Rantaian Bekalan berkata, pengalamannya berhadapan dengan sejuk melampau itu ketika keluar dari rumah sewa ke perhentian bas untuk ke universiti Rabu lalu.

Penuntut tahun pertama dari Bukit Jelutong, Selangor itu berkata, suhu ketika itu mencecah -40 darjah Celsius.

“Saya tak pakai sarung tangan lagi, walaupun ada di dalam poket baju sejuk kerana bergegas takut tertinggal bas.

“Tak sampai lima minit, tangan rasa macam beku dan sakit,” katanya hari ini.

Bagaimanapun katanya, sakitnya itu tidak berlarutan.

Wan Abdul Rahman berkata, pada hari itu, pengurusan Iowa State University mengumumkan semua kelas pengajian dibatalkan kerana cuaca ekstrim namun dia masih perlu ke universiti kerana membuat kerja sambilan di dewan makan.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 12 maut di beberapa negeri di Amerika Syarikat termasuk di Chicago, Michigan, Iowa, Indiana dan Illinois susulan cuaca sejuk melampau yang melanda negara itu.

Penuntut lain di universiti itu, Muhamad Imran Maszeri, 21, berkata, dia terpaksa memakai empat lapisan pakaian bagi memanaskan badan untuk keluar ke universiti dan mendapatkan barang keperluan harian.

Penuntut Ijazah Kejuruteraan Perisian itu berkata, polis menasihatkan penduduk supaya mengelak berada di luar rumah jika tiada urusan penting kerana cuaca berkenaan boleh mengakibatkan gigitan fros.

“Apabila tidur terpaksa pakai beg tidur untuk tutup badan, alat pemanas pula dinaikkan hingga 30 darjah celsius dari 20 darjah celsius kebiasaannya,” kata penuntut dari Bandar Kinrara, Puchong itu.

Menurutnya, suhu pada hari ini adalah enam darjah celsius.

Bagaimanapun katanya, dia serta lima rakan serumah tidak mengalami masalah kesihatan dengan keadaan cuaca itu.

Dalam pada itu, Atase Pendidikan Education Malaysia Chicago, Siti Maisarah Roslan, 36, berkata, pihak berkuasa Chicago memberi amaran awal berhubung kejadian Polar Vortex bagi membolehkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga.

“Bagi yang bekerja, kami bekerja dari rumah atas dasar keselamatan,” katanya yang menetap di North Chicago sejak tiga tahun lalu.

Katanya, walaupun Polar Vortex menyebabkan suhu -56 darjah celsius di Chicago Rabu lalu sudah berlalu, namun pihak berkuasa Amerika Syarikat memberikan amaran berhubung perubahan suhu melampau yang bakal berlaku.

Siti Maisarah berkata, cuaca sejuk dijangka diikuti perubahan suhu panas yang memungkinkan ancaman banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 3:54 PM