AIDEN Aslin, Shaun Pinner dan Brahim Saadoun dijatuhi hukuman mati. FOTO REUTERS
AIDEN Aslin, Shaun Pinner dan Brahim Saadoun dijatuhi hukuman mati. FOTO REUTERS
AFP

Lysychansk, Ukraine: Pemberontak pro-Russia menjatuhi hukuman mati kepada dua rakyat Britain dan seorang warga Maghribi yang ditawan ketika berjuang untuk Ukraine.

Pihak berkuasa pemisah di wilayah Donetsk, iaitu sebahagian daripada Donbas, mengarahkan hukuman mati ke atas Aiden Aslin, Shaun Pinner dan Saaudun Brahim selepas mereka dituduh bertindak sebagai askar upahan untuk Kyiv, lapor media Rusia.

Hukuman mati datang ketika Moscow menumpukan kuasa tembakannya di hab perindustrian strategik Severodonetsk, di mana Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata pertempuran sengit boleh menentukan nasib seluruh kawasan Donbas.

Menurut jurucakap Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, beliau menyatakan kebimbangan mengenai hukuman itu kerana di bawah Konvensyen Geneva, tawanan perang berhak mendapat imuniti tempur.

Kedua-dua warga Britain itu menyerah diri pada April di Mariupol, bandar pelabuhan selatan yang ditawan oleh tentera Russia selepas pengepungan selama berminggu-minggu.

Mereka kemudian muncul di TV Russia menyeru Johnson untuk rundingan pembebasan, manakala Brahim menyerah diri pada Mac di bandar timur Volnovakha.

Ketika perbicaraan selama tiga hari, tertuduh mengaku bersalah melakukan tindakan yang bertujuan untuk merampas kuasa dan menggulingkan perintah perlembagaan Republik Rakyat Donetsk, menurut agensi berita Russia, Interfax.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 11:38 AM