Foto hiasan
Foto hiasan
AFP

London: United Kingdom (UK) akan memulakan program suntikan keempat vaksin Covid-19 minggu ini.

Perkara itu diumumkan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) hari ini dengan jutaan terutama golongan paling berisiko negara itu akan ditawarkan suntikan berkenaan.

Suntikan penggalak terbaharu itu akan disediakan untuk penghuni rumah yang menjaga, orang yang berusia lebih dari 75 tahun dan mereka yang mengalami imunosupresi.

Kira-kira lima juta orang dijangka ditawarkan suntikan itu dengan 600,000 daripada mereka ditawarkan membuat tempahan janji temu mereka minggu depan, menurut NHS.

Setiausaha Kesihatan dan Penjagaan Sosial, Sajid Javid berkata, program vaksinasi fenomenal terdahulu menyelamatkan banyak nyawa dan membina 'tembok' pertahanan sekali gus membolehkan mereka belajar untuk hidup dengan Covid-19.

"Berikutan kejayaan besar pelancaran setakat ini, kami kini menawarkan dos penggalak musim bunga untuk individu berusia lebih 75 tahun dan paling terdedah untuk menambah perlindungan mereka terhadap virus ini," katanya.

Dilaporkan, kes meningkat sekali lagi di seluruh Britain disebabkan varian Omicron yang berleluasa, dengan kira-kira satu dalam 20 orang dijangkiti pada masa ini.

Kemasukan ke hospital sekali lagi meningkat, namun bilangan pesakit dalam unit penjagaan rapi (ICU) kekal rendah.

Bercakap pada persidangan musim bunga partinya semalam, Perdana Menteri Boris Johnson berkata, mereka bersiap sedia untuk melaksanakan suntikan keempat.

Britain menjadi antara negara yang paling teruk terjejas di dunia dengan lebih 163,000 orang maut akibat dijangkiti virus itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 11:43 AM